SELEPAS hampir tiga bulan menemani menantunya, Bunga Citra Lestari di Indonesia, ibu kepada Allahyarham Ashraf Sinclair iaitu Khadijah A Rahman akhirnya pulang ke Malaysia. Menurut Khadijah atau lebih dikenali Dida Sinclair, dia sudah selamat tiba di tanah air namun perlu menjalani kuarantin diri selama dua minggu sebelum bertemu keluarga tersayang. "Alhamdulillah, Umi sudah berada di Malaysia... harus menjalani kuarantin selama 14 hari sebelum pulang ke rumah. ARTIKEL BERKAITAN: Dua bulan ditemani ibu mentua, BCL kongsi pengalaman raya tanpa Ashraf - “Dear love... malam itu takbir berbeza tanpa kamu!” "Terima kasih Bunga kerana menjaga Umi selama hampir tiga bulan di rumah kamu. Ini bukan ucapan selamat tinggal... InsyaAllah saya akan jumpa kamu dan Noah lagi. Jaga diri dan kami sayang kamu selamanya," katanya. Khadijah berkongsi mengenai kepulangannya itu menerusi laman Instagram, baru-baru ini. Gambar kenangan Dida bersama suami dan Ashraf. Sementara itu, Khadijah turut meluahkan rasa syukur apabila dapat menjalani ibadah puasa dan menyambut hari raya bersama menantunya itu. Meskipun tanpa ketiadaan anak tersayang, namun dia dapat merasai arwah Ashraf seperti berada di sisi. "Syukur Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dapat meluangkan banyak masa bersama kamu, Noah dan keluarga kamu juga. "Kita penuhi bulan Ramadan, membaca Yasin bersama untuk arwah Ashraf, solat bersama, sahur bersama dan meraikan keindahan Aidilfitri bersama. "Terlalu banyak rasa cinta untuk arwah walaupun dia sudah tiada di sini lagi tapi keberadaannya tetap dirasai," katanya. Dida raikan Aidilfitri bersama Bunga dan cucunya, Noah. Dalam pada itu, Khadijah memberitahu kepulangannya ke Malaysia adalah bagi mengubat kerinduan suami, anak dan menantu yang sudah lama tidak bertemu. "Ini masa untuk Umi luangkan waktu bersama Daddy, Aishah, Adam, Soraya, Aina, Yuna dan Shahnaz. Mereka juga terlalu merindui Umi!," ujarnya. Allahyarham Ashraf Sinclair meninggal dunia akibat serangan jantung pada 18 Februari lalu di Jakarta, Indonesia. Pemergian arwah Ashraf bukan sahaja memberi tamparan kepada keluarga malah semua yang mengenalinya terutama rakan selebriti serta peminat dari Indonesia dan Malaysia. Bunga, 37, dan Ashraf mendirikan rumah tangga pada 2008 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Noah Aidan Sinclair yang kini berusia 10 tahun. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!