suria

Faizal Tahir tegur aksi ‘Lathi Challenge’, ramai tak fikir dosa pahala - “Habiskan masa dan tenaga buat benda tak berguna!”

Faizal menyuarkan pendapatnya mengenai trend video Lathi Challenge yang sedang tular di laman sosial.

VIDEO Lathi Challenge yang memperlihatkan transformasi wajah biasa kepada karakter seorang puteri sebelum berubah menjadi karakter hantu kini menjadi trend baharu di laman sosial.

Perkara itu mendapat perhatian penyanyi Faizal yang menganggap aksi tersebut bertentangan dengan ajaran Islam dan hanya membuang masa.

ARTIKEL BERKAITAN: Pendakwah takut tengok Lathi Challenge, seolah sedang seru sesuatu untuk hadir - “Ada unsur syirik, kurafat seperti memanggil Kuntilanak, roh kuda kepang”

Kata Faizal, golongan yang beragama Islam melakukan aksi tersebut tidak memikirkan soal dosa dan pahala.



Faizal turut memuat naik status itu di Instagram.

"Guys, yang beragama Islam khususnya, kalau buat apa-apa tu, fikirlah dulu sama ada kalau Nabi Muhammad tahu apa yang kita buat tu Baginda akan terima benda tu atau tidak. Sedih tengok.

"Masa dan usaha yang anda letak untuk jadikan sesuatu cabaran itu sempurna di laman sosial sukar dipercayai. Anda fikir Allah akan tanya anda tentang perkara itu bila anda bertemu denganNya pada hari penghakiman?

"Pernah tak anda terfikir, bila buat apa-apa cabaran berjoget bagai dan kongsi di laman sosial ni, apa kebaikan yang akan diberikan kepada masyarakat?" kata Faizal.



Mawar antara selebriti yang melakukan Lathi Challenge.

Faizal menerusi laman Twitter turut memuat naik video Lathi Challenge yang dilakukan usahawan kosmetik Anas Zahrin.

Selain Anas, pelakon Mawar Rashid juga membuat video cabaran tersebut di laman sosialnya baru-baru ini.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Sumandak itu berharap orang ramai yang berhasrat untuk melakukan cabaran tersebut agar berhenti daripada membuang masa.

Ada banyak perkara yang saya sudah lakukan di masa silam dan saya tidak berbangga.

FAIZAL TAHIR

PENYANYI

"Habiskan masa dan tenaga buat benda yang tidak berguna dan tak beri sumbangan kepada amalan kita untuk bekalan bila dah mati nanti.

"Jangan membabi-buta ikut semua benda yang orang lain buta disebabkan ia merupakan trend. Ini cara bagaimana Dajjal menipu anda. Allah bagi akal. Jangan sia-siakan. Pesanan untuk diri saya," ujarnya.

Meskipun ramai netizen yang menyokong namun ada juga yang sengaja berkongsi foto kontorversi Faizal tidak memakai baju dan tali pinggang ketika sedang membuat persembahan sekitar 2008.



Netizen sengaja mengungkit kontroversi lama Faizal membuka baju dan tali pinggang ketika membuat persembahan sekitar 2008.

Bagaimanapun Faizal menganggap kontroversi yang dilalui itu teguran Allah dan sehingga kini dia masih berusaha untuk belajar dan memperbaiki diri.

"Brother, saya masih banyak perlu belajar dan memperbaiki. Sampai ke mati saya tidak akan sempurna. Ini cara Allah 'tegur' saya untuk buka mata dan hati saya.

"Ada banyak perkara yang saya sudah lakukan di masa silam dan saya tidak berbangga. Tapi ia memberi pengajaran untuk kita. Alhamdullilah," katanya.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain