suria

Tiada pemujaan! Mawar Rashid padam video 'Lathi Challenge' - “Saya hanya nak tunjuk teknik mekap”

Mawar Rashid padam video Lathi Challenge.

VIDEO Lathi Challenge yang dilakukan pelakon Mawar Rashid mendapat perhatian netizen di laman sosial sehingga hari ini mendapat lebih sejuta tontonan di laman Instagram miliknya.

Bagaimanapun, trend cabaran memaparkan transformasi wajah cantik bertukar menjadi hantu yang menyeramkan itu menerima teguran daripada segelintir pihak antaranya pendakwah bebas dan netizen.

Menjelaskan mengenai trend video yang diperkatakan orang ramai itu, Mawar atau nama sebenar Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid, 25, memberitahu apa yang dilakukan hanyalah untuk menyahut cabaran daripada peminat di media sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Aktif main TikTok, Mawar Rashid sekadar suka-suka - “Saja nak berseronok dengan suami”

ARTIKEL BERKAITAN: Pendakwah takut tengok Lathi Challenge, seolah sedang seru sesuatu untuk hadir - “Ada unsur syirik, kurafat seperti memanggil Kuntilanak, roh kuda kepang”

"Rasanya semua orang tahu saya memang suka bermekap dan buat video unik, jadi menerusi tarian Lathi Challenge itu saya dapat tunjuk kepada pengikut laman sosial mengenai teknik mekap yang saya lakukan... nak buat video itu pun bukan mudah kerana memerlukan kesabaran dan ketekunan yang tinggi!

"Kalau ada yang rasa tak selesa dengan video itu saya minta maaf dan tak sangka sampai ada pihak rasa kurang senang.



Mawar suka buat video di Instagram.

"Setelah difikirkan kembali saya mengambil keputusan untuk memadam video tersebut!," katanya kepada mStar.

Sebelum ini, pendakwah bebas antaranya Pencetus Ummah Syed Bakri dan Da'i Wan Dazrin serta penyanyi Faizal Tahir menyuarakan pandangannya mengenai penghasilan video tarian Lathi Challenge.

Rata-rata berpendapat tindakan individu yang menghasilkan video itu hanyalah kerja sia-sia dan bertentangan dengan ajaran Islam.

Setelah difikirkan kembali saya mengambil keputusan untuk memadam video tersebut!

MAWAR RASHID

PELAKON

Sementara itu, isteri kepada Raf Yaakob ini berkata video yang dihasilkan itu sama sekali tiada sebarang unsur pemujaan dan tidak memesongkan akidahnya sebagai umat Islam.

"Apa sahaja perkara yang kita lakukan berbalik kepada niat... video itu dihasilkan sebagai content untuk Instagram! Jadi, tiada sebarang unsur pemujaan dan tidak memesongkan akidah sama sekali.

"Mungkin kerana memakai busana tradisional orang Thailand dan mekap seperti hantu menampakkan seperti pemujaan, tapi hakikatnya tiada sebarang unsur mistik dalam tarian tersebut," katanya.



Lathi Challenge jadi trend terkini pengguna laman sosial.

Dalam pada itu, pelakon drama TQ Captain ini berkata dia sudah lali dengan sebarang bentuk kecaman daripada netizen.

Namun, dia meminta pihak tertentu tidak menjatuhkan hukum sewenangnya hanya kerana video tersebut.

"Sejujurnya saya dah kalis kecaman, semakin hari semakin matang berdepan apa jua kata-kata orang, jadi saya tak kecil hati dengan komen yang diterima.

"Cumanya saya minta janganlah semudah itu menjatuhkan hukum terhadap seseorang kerana ia berbalik kepada niat individu itu sendiri.

"Kalau kita pandang dari sudut positif, ia akan jadi positif... begitulah sebaliknya! Kadang-kadang kita tak tahu mungkin orang yang kita cakap itu lebih baik pegangan agama mereka," ujarnya.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Mawar Rashid, Lathi Challenge

Artikel Lain