suria

“Ada kongsi dalam group keluarga, rasanya bapa sudah dengar!” - NJWA lepas 'gian' nyanyi semula lagu raya nostalgia dengan nafas baharu

NJWA berkata dia ada berkongsi rakaman lagu nyanyian semula itu dalam 'group' keluarga.

PENYANYI NJWA mengakui teruja apabila diberi peluang menyanyikan semula (cover) empat lagu raya malar segar bagi kempen Cover Lagu Raya TV3 yang dilancarkan sempena Syawal tahun ini.

Menurut NJWA, 33, lagu-lagu tersebut dirakam dengan susunan muzik baharu yang dapat membangkitkan semangat Aidilfitri meskipun dalam keadaan negara yang sedang memerangi virus Covid-19.

"Seronok apabila dapat peluang menyanyikan semula lagu evergreen ini... sepanjang PKP ini kita hanya terperap dalam rumah, jadi apabila menerima peluang ini semestinya saya tidak menolak dan rasa macam dapat lepaskan gian!

ARTIKEL BERKAITAN: “It's cool tapi bukan saya yang buat!” - Ucapan bapa ‘Ke Sana Ke Sini’ jadi lagu, Najwa Mahiaddin kata rakyat Malaysia kreatif

ARTIKEL BERKAITAN: NJWA selesa bekerjasama dengan suami sendiri

"Memang teruja dapat menyanyikan semula lagu-lagu popular ini dan berharap ia dapat membangkitkan semangat hari raya dan keindahan Syawal tahun ini," katanya kepada mStar.

NJWA seronok dapat merakamkan lagu nostalgia dalam nafas baharu.

Anak kepada Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin ini ditemui semasa sesi temubual yang diadakan secara dalam talian pada Rabu.

Turut menyertai sesi tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar dan kumpulan V.E.

Empat lagu yang menerima sentuhan susunan muzik berlandaskan irama jazz klasik itu iaitu Dendang Perantau nyanyian asal Tan Sri P. Ramlee, Selamat Hari Raya (Saloma), Selamat Hari Raya (Fazidah Joned) dan Suasana Hari Raya (Anuar Zain dan Elina).

NJWA bersyukur bapa dan keluarga menyokong penuh perjalanan karier seninya.

Ditanya adakah bapanya sudah mendengar lagu yang diberi nafas baharu ini, NJWA berkata dia ada berkongsi video muzik tersebut bersama keluarga.

NJWA atau sebelum ini lebih dikenali Najwa Mahiaddin memberitahu sudah menjadi kebiasaan untuk dia berkongsi perkembangan tentang kerjaya seninya dengan keluarga.

"Saya ada kongsi dalam group family chatting... sudah jadi kebiasaan apa sahaja projek yang saya buat pasti saya akan kongsikan dalam group tersebut.

Fly & The Gypsy Cats bersama NJWA dan Sarah Ismail terbabit dalam kempen Cover Lagu Raya TV3.

"Saya rasa bapa sudah dengar... Alhamdulillah, keluarga sangat memberi sokongan, tak kisahlah apa projek lagu sekalipun mereka akan support!," ujarnya.

Sementara itu, bagi rakyat Malaysia yang ingin menonjolkan kreativiti masing-masing dengan memberi versi lagu raya yang tersendiri boleh memuat naik video kreatif dengan hashtag #coverlagurayaTV3 di laman sosial media dan berpeluang memenangi hadiah-hadiah menarik.

Selain Fly & The Gypsy Cats bersama NJWA dan Sarah Ismail, kumpulan V.E turut terbabit dalam kempen promosi #coverlagurayaTV3.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain