suria

Berhijab bukan halangan Cik Manggis terus menari bersama De Fam - “Apa orang nak fikir, fikir la... saya tak kisah”

Anggota kumpulan De Fam, Cik Manggis sudah berhijab.

TAMPIL ayu dan sopan dengan imej baharu, anggota kumpulan De Fam iaitu Cik Manggis mengakui sudah membuat keputusan untuk bertudung.

Manggis atau nama sebenarnya Nurshazwani Shamsuddin, 31, berkata perjalanannya untuk berhijab dilakukan secara perlahan-lahan bagi memastikan dia benar-benar bersedia.

ARTIKEL BERKAITAN: Kilafairy sudah berhijab, Neelofa titip doa kekal istiqamah - “Cantik... semoga Allah kuatkan hati dan iman kau”

"Betul, saya sudah berhijab... Alhamdulillah. Sebenarnya ini bukan keputusan yang tiba-tiba.

"Saya dah lama pasang niat tapi saya perlu lakukannya perlahan-lahan, bukan mengejut... tak boleh nak terus berubah.



Cik Manggis tampil berhijab buat kali pertama dalam sebuah video yang dikongsi di Instagram pada Ahad.

"Bagi saya nak berhijrah tu agak mencabar. Tapi sebelum saya betul-betul berhijrah ni, saya pastikan diri saya bersedia sepenuhnya macam pakai anak tudung dulu sebelum bertudung... selangkah demi selangkah," katanya kepada mStar.

Kata Manggis, pada awalnya tidak mudah untuk dia mengubah imej kerana sudah terbiasa dengan gaya hidup sedia ada.

Namun, niat yang semakin membuak-buak untuk berhijab memudahkan perjalanan hijrah tersebut.

"Saya dah terbiasa dengan cara hidup yang sedia ada. Jadi, ia tak mudah untuk saya ubah imej saya... tapi bukan tak boleh buat.

Bila niat semakin kuat, perjalanan jadi senang

CIK MANGGIS

PENYANYI

"Jadi bila niat tu semakin kuat, perjalanan tu jadi senang," ujarnya.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Panas ini berkata penghijrahan itu tidak bermakna dia akan meninggalkan minatnya untuk menari.

Kata Manggis, dia masih selesa untuk membuat persembahan dengan stail tarian De Fam, malah menganggap ia salah satu aktiviti bersukan.

"Saya masih lagi selesa untuk membuat persembahan dengan stail tarian serta persembahan De Fam.



Rakan artis turut berkongsi rasa teruja melihat penampilan baharu Cik Manggis.

"Jadi, bagi saya menari itu bukan hanya minat, tapi ia juga sukan untuk saya," jelasnya.

Tambahnya, keputusan yang diambil ini merupakan fasa baharu untuk menjadikan dirinya lebih baik.

Dia juga enggan mengambil kira kata-kata netizen yang hanya berniat untuk mencari kelemahannya.

"Apa yang saya utamakan sekarang ialah untuk ada kemajuan dalam hidup saya. Saya pun tak nak harapkan apa-apa dari orang lain sebab apa yang saya buat ni ialah untuk diri saya sendiri, bukan orang lain.

"Jadi, apa orang nak fikir, fikir la... saya tak kisah," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Cik Manggis, De Fam

Artikel Lain