suria

Bakal timang anak lelaki, Shukri Yahaya dah pilih nama - “Syukur kali ini tak banyak alahan”

Shukri teruja timang anak lelaki dan sudah membuat segala persiapan sejak awal lagi.

BAKAL menimang cahaya mata kedua tidak lama lagi, pelakon Shukri Yahaya berkata dia dan isteri, Tya Adnan teruja menanti kelahiran bayi itu.

Menurut Shukri, segala persiapan telah dilakukan dan mereka juga sudah memilih nama sesuai untuk bayi lelaki yang bakal lahir tidak lama lagi.

"Persiapan semua kami dah siapkan dari awal, menunggu waktu beberapa minggu saja lagi. Alhamdulillah, kandungan kedua ini isteri pun tak banyak alahan!

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri Shukri Yahaya keguguran - “Mungkin belum tiba waktunya kami timang cahaya mata kedua”

"Cuma bab emosi tu biasalah untuk perempuan... mengandung atau tidak tetap ada emosi tapi tentang emosi tu saya berjaya tangani dengan baik.

"Sejujurnya memang sangat teruja sebab nak dapat baby boy... nama pun sudah ada tapi selepas lahir nanti baru saya kongsikan. InsyaAllah saya akan bercuti selama seminggu selepas isteri bersalin," katanya kepada mStar.

Shukri bersama isteri dan anak sulung mereka.

Shukri dan Tya mendirikan rumah tangga pada November 2015 dan dikurniakan cahaya mata iaitu Aaira Ameena yang kini berusia 4 tahun.

Sementara itu, bercakap mengenai karier lakonan, Shukri memaklumkan dia baru selesai menjalani penggambaran drama 7 Hari Mencintaiku 2 yang bersiaran di slot Akasia TV3.

Mengakui gembira dengan penerimaan penonton, Shukri bagaimanapun berkata pada awalnya dia tertekan dan bimbang dengan reaksi peminat terhadap sekuel drama ini.

"Alhamdulillah drama ini trending di media sosial... boleh dikatakan pada awalnya semua yang terbabit termasuk saya tertekan apabila penerbit dan stesen televisyen meletakkan sasaran untuk drama ini. Iyelah ramai beri anggapan kebiasaannya musim kedua kurang menjadi.

Teraju utama drama 7 Hari Mencintaiku 2, Shukri Yahaya dan Siti Saleha.

"Bagaimanapun, saya percaya jarak tiga tahun antara musim pertama dengan kedua mungkin tidak membuatkan penonton membandingkan mana lebih bagus. Sebagai pelakon tentulah kami mahu drama musim kedua ini berjaya seperti musim pertama.

"Bagi memastikan watak itu berjaya diolah dengan baik, saya terpaksa menonton semula drama musim pertama supaya karakter Khuzairi tidak lari. Kalau ada keraguan, kami akan merujuk video terdahulu. Maklum sahaja, jarak tiga tahun bukan sekejap dan pelbagai karakter berbeza kami sudah bawakan sepanjang tempoh berkenaan," katanya.

7 Hari Mencintaiku 2 merupakan drama adaptasi novel dengan tajuk sama karya penulis Siti Rosmizah.

Drama arahan Jamal Khan bersiaran di setiap hari Isnin hingga Jumaat pukul 7 malam di TV3.

Selain Shukri Yahaya, ia turut dibintangi oleh Siti Saleha, Jasmin Hamid, Liza Abdullah dan Kazar.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Shukri Yahaya, Tya Adnan, Siti Saleha

Artikel Lain