suria

Ibu sering sakit dan hilang semangat, Iesya Toh bimbang tak sempat ziarah pusara bapa di Madinah

Pengacara Iesya Toh berharap dapat membawa ibu mengerjakan umrah dan menziarahi pusara bapanya.

KESIHATAN ibu yang sering sakit membuatkan pengacara Iesya Toh berasa bimbang tidak berpeluang mengerjakan umrah bersama-sama dan menziarahi pusara bapanya Allahyarham Sanny Toh Abdullah di Madinah, Arab Saudi.

Iesya berkata, ibunya iaitu Sharifah Meryam Syed Abd Rahman Al-Attas tidak bersemangat untuk menjaga kesihatan sejak arwah bapa meninggal dunia ketika sedang mengerjakan umrah dua tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Iesya Toh ingat pesanan Farit Ismeth Emir - “Kita kat RTM kena buat 'trademark' supaya orang kenal”

"Selepas abah tak ada, umi memang dah tak semangat nak jaga kesihatan. Umi dah tak jaga pantang sangat... dah tak jaga pengambilan ubat.

"Umi dan abah pergi umrah berdua pada tahun 2018, tapi umi balik seorang sahaja, dia hanya bawa balik beg abah... terkesan juga," katanya kepada mStar.

Iesya bersama Allahyarham bapanya, Sanny Toh Abdullah.

Terdahulu, Iesya memuat naik video ibunya dikejarkan ke hospital menaiki ambulans selepas mengadu sakit di bahagian pinggul pada Ahad.

Bagaimanapun, Iesya bersyukur apabila doktor mengesahkan ibunya tidak mengalami sebarang masalah serius.

"Dah dua hari dah umi kata sakit... tapi masih boleh bangun juga.

Iesya berhasrat membawa ibunya menunaikan umrah.

"Tapi hari Ahad tu kebetulan semua ada dengan umi, umi mengadu tak tahan sakit pada tulang tepi pinggul.

"Bila nak solat, umi tak boleh bangun. Sakit sampai menangis. Jadi saya buat keputusan untuk panggil ambulans. Takut tulang apa-apa kan... nak gerak tak boleh.

"Alhamdulillah lepas sampai hospital doktor periksa semua, tulang okey," ujarnya.

Sementara itu, Iesya berkata, selepas pemergian bapa, ibu rapat dan banyak menghabiskan masa dengan anak sulungnya iaitu Harraz Daiyan.

Alhamdulillah doktor periksa semua okey.

IESYA TOH

PENGACARA

"Umi memang manja dengan abah dulu... sekarang ni kita kena sentiasa bagi semangat pada umi untuk kuat.

"Nasib baik cucu sulung umi, Harraz Daiyan selalu ambil hati umi... manja dengan umi. Jadi, umi terhibur," ujarnya.

Iesya berkahwin dengan ahli perniagaan Huzairee Muhamad pada 29 Mei 2015 dan pasangan ini dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Harraz Daiyan, 3, dan Hafiya Daisha yang berusia satu tahun.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Iesya Toh

Artikel Lain