suria

“Baru seminit dengar dah menangis... moga Unge terus kuat!” - BCL abadikan kisah cinta dengan Ashraf Sinclair dalam ‘12 Tahun Terindah’

Kisah cinta BCL, Ashraf dan anak mereka, Noah diabdikan dalam lagu 12 Tahun Terindah.

SELEPAS lima bulan, pemergian pelakon Ashraf Sinclair terus dirasai isteri tercinta yang juga penyanyi Bunga Citra Lestari (BCL) dan seluruh keluarganya.

Malah ingatan peminat terhadap kisah cinta Bunga atau BCL dan Allahyarham Ashraf kembali menjadi bualan selepas penyanyi itu mengabadikan kisah mereka menerusi single terbaharunya berjudul 12 Tahun Terindah.

ARTIKEL BERKAITAN: BCL kongsi video 13 tahun lalu, pertama kali bertemu Ashraf Sinclair - “Selalu dengar kisah ini, sekarang dapat lihat videonya”

Menerusi video muzik lagu tersebut yang dilancarkan pada pukul 1 tengah hari, Ahad di YouTube, BCL turut memasukkan beberapa koleksi rakaman momen indah mereka sekeluarga.



12 tahun usia perkahwinan BCL dan Ashraf.

Lebih mengundang sebab, BCL juga berkongsi sedutan rakaman kenangan pertemuan pertama dia dengan arwah suaminya di sebuah program televisyen terbitan Astro pada 2007.

Selain itu, anak lelaki BCL dan Ashraf iaitu Noah Aidan Sinclair turut digambarkan dalam video muzik tersebut sebagai kekuatan buat penyanyi itu bagi menggantikan arwah bapanya.

Baru sahaja dimuat naik, video muzik berkenaan kini sudah mencecah hampir setengah juta tontonan dan lebih 15,000 komen daripada netizen.

Rata-rata netizen meluahkan rasa sedih menonton video muzik tersebut dan ada juga dalam kalangan mereka yang menangis kerana turut merasai kesedihan yang dilalui BCL serta keluarga.



Kisah cinta Ashraf dan BCl dalam 12 Tahun Terindah.

"Tak terkata saya menonton video ini. Sangat menyentuh perasaan, melodinya sangat indah. Terima kasih untuk kenangan yang indah buat awak dan arwah.

"Saya cuba untuk menahan air mata tapi tidak berjaya. Semoga kak Unge (Bunga) terus kuat dan Allah memberkati awak, Noah serta seluruh keluarga awak.

"Baru seminit lagu ini didengari dan saya sudah menangis. Kasih sayang antara anda berdua sangat kuat malah saya sendiri dapat rasakan melalui semua rakaman dalam video klip ini," komen beberapa netizen.

Allahyarham Ashraf Sinclair meninggal dunia akibat serangan jantung pada 18 Februari lalu di Jakarta, Indonesia.



Adik kepada Ashraf iaitu Adam dan Yuna turut sedih menonton video muzik tersebut.

BCl dan Ashraf mendirikan rumah tangga pada 2008 dan dikurniakan seorang cahaya mata bernama Noah Aidan Sinclair yang kini berusia 10 tahun.

Dalam pada itu, adik kepada arwah iaitu Adam Sinclair juga berkongsi gabungan video dia bersama isterinya yang juga penyanyi Yuna serta keluarga yang sedang mendengar lagu tersebut kelihatan menitiskan air mata.

"Saya fikir yang saya akan baik-baik saja apabila lakukan ini... tapi ternyata ia menyentuh perasaan walaupun hanya duduk dan mendengar lagu ini.

"Dan saya rasakan semua emosi. Saya tidak dapat bayangkan macam mana untuk awak @bclsinclair dan Noah. Saya bangga dengan awak berdua dan saya sangat sayangkan awak," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain