suria

Syafie Naswip imbau kenangan dengan arwah Nurhalim - “Aku cukup takut dan tidak faham dengan dia... tapi orangnya jujur dan penyayang”

Syafie meluahkan rasa terkilan tidak mempunyai foto bersama arwah untuk dijadikan kenangan.

PEMERGIAN pengarah Allahyarham Nurhalim Ismail yang meninggal dunia pada Jumaat lalu cukup dirasai penggiat industri seni termasuk pelakon Syafie Naswip.

Kata Syafie yang pernah beberapa kali bekerjasama dengan Nurhalim, arwah disifatkan sebagai seorang yang tegas dan berprinsip.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengarah drama Nurhalim Ismail meninggal akibat kanser... Al-Fatihah

"Pak Halim antara pengarah yang sangat tegas, berprinsip sangat berdisiplin. Sepanjang shooting dengan arwah, memang mula-mula gerun dan tak tahu macam mana nak faham kehendak dia di set.



Antara status yang dimuat naik Syafie.

"Hari-hari aku pulang daripada shooting rasa seperti aku pelakon yang sangat teruk kerana gagal memberi apa yang dimahukannya. Ya dia sangat tegas.

"Aku cukup takut dan tidak faham dengan dia semasa kami shooting telemovie Senyumlah Papa pada 2008. Pada awal 2017, kami dipertemukan sekali lagi dalam drama bersiri Syahadat Cinta.

"Job ini memang menguji aku daripada segala hal, emosi, fizikal dan segala cara. Kerana watak Mohsin yang dimahukan Pak Halim ternyata keluar dari zon selesa aku," tulisnya di Instastory.

Selain itu Syafie meluahkan rasa terkilan kerana tidak mempunyai foto kenangan bersama arwah Nurhalim sepanjang mengenalinya.

Aku sukakan cabaran, semakin aku rasa tidak boleh atau gagal, aku pantas cuba dan cuba lagi untuk buat yang terbaik.

SYAFIE NASWIP

PELAKON

Allahyarham Nurhalim Ismail yang menderita sakit kanser paru-paru tahap empat menghembuskan nafas terakhirnya pada kira-kira pukul 10.30 malam, Jumaat.

Menerusi laporan mStar pada 17 Jun lalu, Allahyarham menjalani pembedahan berkaitan jantung di Hospital Serdang, Selangor dan turut disahkan mengidap kanser paru-paru tahap empat pada ketika itu.

Dalam pada itu, Syafie memberitahu biarpun watak yang dicipta arwah untuknya sukar namun dia tetap melakukannya yang terbaik.

"Pak Halim betul-betul reka watak ini mengikut bayangan dia dan aku sebagai pelakon perlu membaca apa yang dibayangkan dia. Ya ia memang sangat sukar. Kerja berlakon bukan senang. Tapi aku tak menyerah.



Syafie sedih tiada foto kenangan bersama arwah Nurhalim.

"Aku sukakan cabaran, semakin aku rasa tidak boleh atau gagal, aku pantas cuba dan cuba lagi untuk buat yang terbaik. Kerana aku tahu Pak Halim orang lama. Mesti banyak ilmu aku boleh ditimba daripadanya.

"Walau selalu kena marah aku cuba pujuk hati sendiri, yang sebenarnya Pak Halim baik orangnya. Kebetulan kami duduk satu homestay, kami kerap berborak dan berbual bagai anak dan ayah.

"Orangnya jujur dan penyayang. Aku pasti merindui segala kenangan sepanjang di set itu. Macam mana aku kerap ditegur fasal lakonan, tentang tempo dan segalanya," ujarnya.

Syafie juga mengucapkan terima kasih kepada arwah Nurhalim yang banyak mengajar untuk menjadi yang lebih baik.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Syafie Naswip, Nurhalim Ismail,

Artikel Lain