suria

Zara Zya dah ada buah hati baharu, tapi belum nampak bayang nak kahwin - “Cukuplah orang tahu kita dah berpunya!”

Zara Zya belum nampak bayang mahu tamatkan zaman bujang.

KEGAGALAN cinta lalu membuatkan pelakon Zara Zya lebih berhati-hati dalam berkongsi kisah bahagia hubungannya dengan jejaka yang baru dikenali beberapa bulan lalu.

Bagi Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 34, cukuplah sekadar peminat mengetahui dia kini sudah berpunya, namun untuk berkongsi lebih lanjut mengenai hubungan istimewa itu bukanlah waktu yang sesuai.

"Apa yang saya boleh cakap memang sedang mengenali seseorang tapi untuk bercerita mengenai hal lain seperti perkahwinan biarlah ia menjadi rahsia... sebabnya sekarang saya nak fokus bisnes dahulu.

ARTIKEL BERKAITAN: Zara Zya dah jumpa pengganti, Jihan kata abang uniform! - “Doakan baik-baik... gementar tapi bahagia”

"Saya tak nak jadi macam dulu-dulu, jadi lebih baik saya rahsiakan hubungan baharu ini... bukan serik tapi sekarang ini saya rasa lebih selesa begini. Kita rileks dulu, janji orang tahu kita dah ada (kekasih).

"Sejujurnya, sekarang ini bayangan nak kahwin pun belum ada, kalau dah sedia nak kahwin kami akan terus buat, bukan nak sembunyi cuma itulah sekarang tak berani lagi nak cakap," katanya kepada mStar.



Zara belum bersedia dedahkan identiti teman lelaki.

Zara Zya ditemui semasa pembukaan restoran sulung miliknya, ZaraZyaCooks (ZZC) di Jalan Setia Dagang, Setia Alam, Selangor pada Isnin.

Pada April lalu, Zara mengakui dia sedang bahagia bersama insan tersayang apabila menulis kapsyen romantis di Instagram.

Alhamdulillah saya dikelilingi ramai individu yang selalu memberi sokongan dan sentiasa berada di belakang ketika kita memerlukan

ZARA ZYA

PELAKON

Zara bagaimanapun berkata, terlalu awal untuknya mendedahkan identiti lelaki tersebut kerana mereka masih dalam proses perkenalan.

Pelakon drama Seadanya Aku ini pernah mengikat tali pertunangan dengan pelakon Hafreez Adam pada Oktober tahun lalu, namun hanya bertahan selama tiga bulan.



Zara Zya teruja impian miliki restoran tercapai.

Bercakap mengenai pembukaan restoran baharu miliknya itu, Zara memberitahu teman lelakinya memberikan sokongan penuh dan memintanya kuatkan diri menempuh cabaran sebagai ahli perniagaan.

"Dia sangat menyokong dan memberikan nasihat serta tunjuk ajar dalam bidang ini... antara pesanannya, jangan mudah putus asa dan kalau ada yang mencela atau cuba menjatuhkan, abaikan sahaja!

"Malah, dia turut menyokong karier saya sebagai pelakon... walaupun dia tiada kaitan dalam bidang seni, namun dia terbuka dengan banyak perkara.

"Alhamdulillah saya dikelilingi ramai individu yang selalu memberi sokongan dan sentiasa berada di belakang ketika kita memerlukan," ujarnya.

ZZC menyediakan pelbagai hidangan istimewa dengan harga berpatutan dan beroperasi setiap hari bermula pukul 12.30 tengah hari sehingga 11.30 malam.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain