suria

Tiada tawaran berlakon, Iqram Dinzly jana pendapatan beraksi di 'Bigo Live' - “Saya pernah kena banned setahun sebab...”

Iqram Dinzly jana pendapatan melalui media sosial, Bigo.

MESKIPUN tiada tawaran lakonan diterima sejak beberapa tahun ini, pelakon sensasi Iqram Dinzly memberitahu dia menggunakan platform media sosial bagi menjana pendapatan.

Menurut Iqram atau nama sebenar Muhammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin, 38, dia aktif menggunakan aplikasi sembang Bigo Live sejak dua tahun lalu dan menerima bayaran ribuan ringgit sebulan.

"Selama empat tahun setengah saya menetap di Ipoh, Perak dan buat perniagaan kecil-kecilan bagi menampung kehidupan... tapi ramai juga yang tak tahu saya jana pendapatan menerusi aplikasi Bigo.

ARTIKEL BERKAITAN: Aksi Pelik Iqram Jadi 'Trending'

"Bulan pertama guna aplikasi itu saya dapat RM5,000 dan sekarang ini purata dalam RM2,000 sebulan. Akaun saya pernah disekat selama setahun kerana melanggar terma dan syarat yang ditetapkan Bigo.

"Alhamdulillah rezeki itu ada. Kalau tanya fasal lakonan, sejujurnya saya masih mahu berlakon tapi rasanya sekarang ini saya lebih berminat berlakon menerusi platform media sosial seperti YouTube," katanya kepada mStar.



Iqram jana pendapatan melalui aplikasi Bigo.

Dalam pada itu, Iqram yang mahu dikenali sebagai IQ Dinzly turut meluahkan rasa syukur dipertemukan sahabat lama iaitu penyanyi kembar Syazara Aishah dan Hanim Fariza atau lebih dikenali sebagai AishaHanim yang sentiasa memberikan sokongan termasuklah dari segi kewangan.

Gara-gara sering dilihat bersama, ada tanggapan negatif kononnya dia ditaja oleh penyanyi duo itu.

Menjelaskan mengenai perkara tersebut, Iqram berkata dia sudah menganggap kedua-dua wanita itu sebagai sahabat tempatnya berkongsi luahan hati.

Saya anggap AishaHanim seperti bidadari yang berhati mulia.

IQRAM DINZLY

PELAKON

"Saya anggap mereka seperti bidadari yang berhati mulia. Saya bersyukur ketika orang pandang saya hina, mereka pula sebaliknya.

"Kami berjumpa semula dan mereka bantu saya dalam beberapa projek seperti jubah dan sebagainya... mereka jadi tempat saya luahkan perasaan serta berkongsi aktiviti kehidupan," ujarnya.



Duo kembar, Hanim (kiri) dan Aisha (kanan) beri sokongan moral kepada Iqram (tengah).

Sementara itu, penyanyi duo ini menafikan dakwaan menaja kehidupan pelakon drama Dunia Baru ini, sebaliknya lebih kepada menyokong dan membantu Iqram untuk kembali ke pangkal jalan.

"Kebetulan kami tinggal satu kampung di Ipoh dan kami lebih rapat dengan arwah kakaknya. Jadi daripada situlah hubungan kami kembali rapat.

"Tak ada istilah kami taja hidup dia seperti yang disangka... sebagai kawan kami terpanggil untuk membantu Iqram daripada terus leka dengan dunianya dan beri semangat untuk dia teruskan hidup.

"Mungkin apabila di media sosial dia berkelakuan pelik tapi kalau jumpa depan-depan dia normal sahaja macam orang lain. Sepanjang perkenalan ini dia tak pernah beri masalah kepada kami," kata Aisha.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain