suria

Bomba bantu bawa Kumin KU2 ke hospital akibat diserang angin pasang

Kumin dimasukkan ke hospital akibat serangan angin pasang pada Jumaat.

PELAWAK Kumin dikejarkan ke hospital selepas mengadu kebas anggota badan akibat serangan angin pasang.

Kumin atau nama sebenar Khuzaimi Ismail, 49, dibawa ke Hospital Ampang, Selangor kira-kira pukul 5.50 petang Jumaat dengan bantuan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah.

ARTIKEL BERKAITAN: Bob Kuman Meninggal Dunia

Kejadian itu dikongsikan oleh pelakon Yank Kassim di Facebook miliknya dan meminta orang ramai mendoakan kesihatan pelawak terbabit.

"Badannya kebas... kena angin pasang dan berlebihan air, dia sedang berehat di wad 6D katil 21. Semoga dia cepat sembuh," tulis Yank.



Kumin dibawa ke hospital dengan bantuan pasukan bomba.

Sementara itu, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi ketika dihubungi mStar pada Sabtu turut mengesahkan perkara itu.

Zed berkata, Kumin kini masih dirawat dan berada dalam keadaan stabil.

"Ya, Kumin masih berada di hospital dan sedang dirawat, Alhamdulillah dia berada dalam keadaan stabil.

"Saya baru sahaja bercakap dengan dia di telefon dan bertanya khabar dia," kata Zed.



Kumin (kiri) bersama pelakon Yank Kassim.

Selain berlakon, Kumin pernah mengecap populariti sebagai penyanyi duo KU2 dan kini fokus kepada kerja belakang tabir sebagai pengurus produksi.

KU2 turut dianggotai Allahyarham pelawak Bob Kuman atau nama sebenar Husni Mohd Rawi.

Duo ini pernah menghasilkan empat album iaitu Motivasi (1994), Evolusi (1997), Album Baru Aku! (1999) dan The Best of KU2 (2001).

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Kumin, hospital, pelawak, KU2

Artikel Lain