suria

Abu Bakar Juah meninggal dunia selepas seminggu tenat akibat kanser hati

Foto kenangan Den Wahab bersama arwah Abu Bakar.

PELAKON veteran Abu Bakar Juah meninggal dunia kira-kira pukul 6.35 petang Sabtu akibat kanser hati di kediamannya yang terletak di Alam Damai, Cheras.

Pelakon Den Wahab yang menetap di kawasan perumahan yang sama memberitahu Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di hadapan isteri dan anak-anaknya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Jangan sebar berita tak betul!” - Anak Abu Bakar Juah kesal berita palsu tentang kematian bapa, akui kini tenat akibat kanser hati

"Abu Bakar baru sahaja meninggal dunia kira-kira pukul 6.35 petang tadi di rumahnya. Dia menghembuskan nafas terakhir disamping isteri dan anak-anaknya.



Kali terakhir Den Wahab (empat dari kanan) menziarahi arwah Abu Bakar pada Selasa lalu.

"Pada mulanya, saya dapat info mengenai arwah meninggal menerusi jawatankuasa masjid di taman perumahan kami.

"Walaupun dah disahkan tapi saya tetap nak dapatkan pengesahan daripada anaknya," kata Den Wahab kepada mStar.

Dalam pada itu, anak kedua kepada Abu Bakar iaitu Zarith Abu Bakar berkata, Allahyarham akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Alam Damai pada pukul 10 pagi, Ahad.

Sebelum ini, Abu Bakar yang kini berusia 72 tahun disahkan penghidap kanser usus pada 2016 dan menjalani 12 pusingan kimoterapi.

Masa hari saya menziarahi arwah Abu Bakar, dia memang sudah dalam keadaan tenat dan tak mampu untuk bercakap.

DEN WAHAB

PELAKON

Dalam pada itu, Den berkata dia ada menziarahi Abu Bakar pada Selasa lalu yang ketika itu arwah dalam keadaan tenat dan pada hari yang sama juga melawat Allahyarham pengarah Yusof Kelana yang meninggal dunia pada pagi, Sabtu.

"Rumah kami memang sangat dekat, jadi saya ada menziarahinya pada Selasa lalu. Kebetulan hari yang sama juga, saya ada ziarah arwah Yusof Kelana.

"Masa hari saya menziarahi arwah Abu Bakar, dia memang sudah dalam keadaan tenat dan tak mampu untuk bercakap.

"Tapi masa itu, dia tenung saya sedalam-dalam dan genggam tangan saya erat," ujarnya.



Arwah bersama isteri dan anak-anak.

Allahyarham Abu Bakar terkenal dengan watak antagonis dan antara filem lakonannya iaitu Senjakala, Rempit Sampai Ke Langit serta Dukun.

Abu Bakar merupakan pesara kerajaan dengan jawatan terakhirnya pada 2005 ialah Pengarah Kanan, Jabatan Penjara Malaysia, Taiping Perak.

Arwah mendirikan rumah tangga dengan Rusidah Mohd Yassin sejak 1980 dan dikurniakan empat cahaya mata serta seorang cucu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain