suria

Pengarah Gerak Khas, Yusof Kelana meninggal dunia akibat kanser kulit tahap empat

Arwah Yusof meninggal dunia di kediamannya.

PENGARAH dan penerbit filem veteran Yusof Kelana meninggal dunia kira-kira pukul 9.30 pagi, Sabtu akibat kanser kulit tahap empat.

Menurut sahabat baiknya yang juga Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PVTM), Datuk Jurey Latiff Rosli, 54, arwah menghembuskan nafas terakhir di kediamannya yang terletak di Taman Melawati, Hulu Klang.

ARTIKEL BERKAITAN: Yusof Kelana kritikal akibat kanser kulit tahap empat - “Dia tak boleh bernafas sendiri...”

Kata Jurey, buat masa kini urusan jenazah masih berada di rumah dan pihak keluarga dalam proses untuk mendapatkan kebenaran lokasi perkebumian di kawasan berdekatan.

"Ya... arwah meninggal dunia kira-kira pukul 9.30 pagi tadi di rumahnya. Doktor datang ke rumah untuk pengesahan. Sekarang ini nak kena buat laporan polis dahulu dan baru proses nak dapatkan kebenaran lokasi perkebumian pula.

"Isteri Yusof mahu allahyarham suaminya dikebumikan di kawasan berdekatan dengan rumah dia. Mungkin selepas solat zohor akan selesai semuanya," kata Jurey ketika dihubungi mStar.



Keadaan Yusof pada Ogos lalu semakin kritikal.

Menerusi laporan mStar pada 6 Ogos lalu, Allahyarham Yusof ketika itu berada dalam keadaan kritikal akibat menghidap kanser kulit tahap empat dan dirawat di Institut Kanser Negara, Putrajaya.

Sementara itu, isteri kepada Allahyarham Yusof iaitu Nur Maynah berkata suaminya dalam keadaan baik sebelum menghembuskan nafas terakhir ketika dia dan anak-anak sedang membacakan surah Yasin.

"Arwah berada dalam keadaan sedar, cuma dia diam dan tak bergerak sebelum meninggal dunia. Saya panggil anak-anak untuk membaca Yasin. Saya juga sempat bisik ke telinganya dengan menyebut kalimah Lailahaillallah.

"Kelmarin dia okey saja. Arwah tidak menunjukkan perubahan yang ketara, mungkin sudah tiba ajalnya. Arwah dijangka dikebumikan selepas solat Asar hari ini, namun belum dipastikan lokasi pengebumian.

Isteri Yusof mahu allahyarham suaminya dikebumikan di kawasan berdekatan dengan rumah dia.

DATUK JUREY LATIFF ROSLI

PRESIDEN PVTM

"Tetapi kalau boleh saya ingin arwah dikebumikan di tanah perkuburan yang berhampiran dengan rumah," katanya.

Yusof atau nama sebenarnya Omar Saleh, 66, mendapat tanda awal kansert tersebut selepas mengalami luka sebesar syiling 50 sen pada tapak kaki sejak dua tahun lalu.

Namun, sikap yang tidak suka ke hospital membuatkan Yusof membiarkan luka tersebut merebak tanpa mendapatkan rawatan sewajarnya dan dia disahkan mengidap kanser tersebut pada Jun lalu.

Yusof memulakan kerjaya sebagai pengarah filem pada tahun 1996 menerusi Tragedi Oktober yang menerima kutipan pecah panggung RM3.2 juta.



Jurey mengesahkan sahabat baiknya, Yusof meninggal dunia.

Dia kemudian meneruskan kerjasama bersama Skop Production menerusi filem MX3 (2003) dan Pontianak Menjerit (2005).

Yusof menerbitkan filem Bidong: The Boat People (2018) dan Mahathir: The Journey (2019) menerusi syarikat miliknya YKS Film Maker dan Reliance Media Group.

Selain filem, Yusof juga antara pengarah drama kepolisian popular Gerak Khas yang ditayangkan di RTM.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain