PELAKON Miera Leyana mahu netizen terus berteka-teki mengenai status perkahwinannya bersama usahawan Rosland Othman yang dikatakan sebagai isteri kedua. Menurut Miera atau nama sebenarnya Miera Leyana Datuk Seri Kasmi, 27, dia berasa hairan dengan tanggapan netizen terhadap poligami sedangkan ia bukan satu isu besar atau menyalahi undang-undang. ARTIKEL BERKAITAN: “Suami saya bukannya perlu duduk atas kerusi roda!” - Miera Leyana bahagia kahwini lelaki berusia, anggap paling sempurna “Saya tak kisah sekiranya ada pihak nak menggelarkan saya isteri kedua atau ketiga. Saya tak faham kenapa rakyat Malaysia menganggap isu poligami itu tak okey dan anggap ia satu isu yang besar. “Kalau saya isteri kedua atau ketiga pun, saya tak rasa yang saya buat salah sebab kami bukan kahwin secara rahsia. Saya buat majlis besar-besaran dan jemput ramai orang termasuk media. Orang nak kata apa, saya tak kisah sebab saya tak boleh nak tutup mulut mereka. MIERA LEYANA PELAKON “Tak ada apa pun yang nak disorokkan. Kalau saya salah, lebih baik saya nikah di Thailand senyap-senyap dan buat apa keluarga saya berhabis duit adakan majlis kahwin, ” kata Miera kepada mStar. Sebelum ini, belum sempat 24 jam bergelar suami isteri, dunia hiburan dikejutkan dengan satu video yang dimuat naik menerusi YouTube yang mendedahkan Miera menjalani kehidupan bermadu. Miera dan suaminya Rosland, 47, ditemui dalam sebuah majlis resepsi yang diadakan di Grand Hyatt, Kuala Lumpur pada Sabtu, malam. Majlis resepsi bak kayangan itu turut dihadiri rakan-rakan selebriti antaranya Emma Maembong, Nelydia Senrose, Liza Abdullah, Ayda Jebat dan ramai lagi. Miera bersama suaminya, Rosland Othman. Malam yang penuh bermakna itu juga dimeriahkan dengan persembahan daripada Liza Hanim, Azlan & The Typewritter, Hazama dan Noryn Aziz. Dalam pada itu, pelakon filem Apokalips X dan Lebuhraya Ke Neraka itu memilih untuk membiarkan sahaja spekulasi netizen mengenai status sebenar dirinya. “Saya tidak mahu mengiyakan atau menidakkan sebab saya tak nak memanjangkan isu tersebut. Orang nak kata apa, saya tak kisah sebab saya tak boleh nak tutup mulut mereka. “Lagipun, kami berdua dah selamat bernikah. Jadi, doakan yang baik-baik sahaja. Memang akan tertekan dengan semua spekulasi tersebut. Sepatutnya selepas kahwin, semuanya indah tapi begini pula jadi,” ujarnya. Miera dan Rosland yang berkenalan sejak empat tahun lalu disatukan sebagai suami isteri pada 26 Julai lalu di Hotel St Regis, Kuala Lumpur. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!