suria

Aaron Aziz sedih asrama tahfiz diroboh, 40 pelajar terpaksa tidur di dewan - “Bukan sebab menyalahi undang-undang atau kaitan politik”

Aaron kini sedang membangunkan semula bangunan baharu.

PELAKON Datuk Aaron Aziz meluahkan rasa kesal apabila pusat tahfiz kendaliannya yang terletak di Langkawi, Kedah dirobohkan pihak tertentu pada Rabu.

Biarpun tidak mahu menjelaskan situasi sebenar kejadian itu, Aaron, 44, meminta orang ramai tidak membuat andaian sehingga boleh mencetuskan spekulasi yang tidak berasas.

Tegas Aaron, apa yang berlaku itu bukan disebabkan pembinaan tersebut menyalahi undang-undang mahupun berunsur politik.

ARTIKEL BERKAITAN: Kenderaan pertama banyak jasa, jadi saksi cinta Aaron Aziz dan isteri - “Siapa ingat Janji Diana RTM mesti ingat kereta ini...”

"Saya muat naik posting itu bukan nak buka aib sesiapa sebab benda ni agak sensitif jadi saya tak nak perbesarkannya.

"Semuanya ada. Semua dokumen termasuk permit yang diperlukan untuk tahfiz ni cukup. Takkan la saya nak buka tahfiz tapi tak cukup syarat dan langgar undang-undang.



Keadaan asrama pusat tahfiz tersebut selepas dirobohkan.

"Saya harap tak ada pihak yang buat spekulasi yang bukan-bukan, jangan cari dosa atau buat fitnah atau apa-apa sekalipun. Benda ni pun tak ada kena mengena dengan politik.

"Senang kata, perkara dah tak boleh elak. Kalau nak salahkan sesiapa, salahkan saya saja," katanya kepada mStar.

Menurut Aaron, bangunan yang dirobohkan merupakan asrama tempat tidur 40 orang pelajar dan kesemua mereka kini ditempatkan di dewan belajar buat sementara waktu sehingga bangunan asrama yang baharu siap dibina.

Tambahnya, pembinaan asrama tersebut mungkin mengambil masa beberapa bulan sebelum ia boleh digunakan.

"Tahfiz ni besar... yang dirobohkan cuma asrama tempat pelajar-pelajar tu tidur. Sekarang ni kami sedang bina asrama yang baru untuk mereka.

Alhamdulillah sekurang-kurangnya ada juga tempat teduh untuk mereka.

DATUK AARON AZIZ

PELAKON

"Kita ada dewan besar tempat mereka belajar Al-Quran semua, jadi sekarang ni katil bertingkat dan almari pakaian semua kami dah pindahkan ke dewan itu... buat masa sekarang mereka akan tidur di situ dulu.

"Kalau ikutkan dalam dua ke tiga bulan juga asrama baru ni akan siap. Tapi Alhamdulillah sekurang-kurangnya ada juga tempat teduh untuk mereka. Kami anggap macam mereka sedang buat perkhemahan la," ujarnya.

Dalam pada itu, pelakon filem KL Gangster ini tidak menyalahkan mana-mana pihak dan menganggap insiden yang berlaku sebagai satu ujian.



Aaron bagaimanapun tidak menyalahkan mana-mana pihak terhadap isu yang berlaku.

"Tanah pusat tahfiz tu sebenarnya adalah tanah wakaf. Masa saya bercuti di Langkawi, saya berjumpa dengan pemilik tanah tu dan dia pun sedih sebab tak boleh buat apa-apa tentang perkara itu. Saya pun dah sediakan duit untuk dibayar supaya asrama tu tak dirobohkan, tapi kena juga.

"Tapi saya tak salahkan mana-mana pihak sebab benda ni terjadi di luar kawalan saya. Kadang-kadang benda macam ni kita kena terima saja la, kena banyak bersabar, nak buat macam mana," jelasnya.

Pusat tahfiz yang dikendalikan oleh Aaron bersama badan bukan kerajaan Journey To Insyirah di Langkawi, Kedah, menempatkan 40 orang pelajar serta lima orang tenaga pengajar.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain