suria

Peluang kedua Linda Nanuwil kembali ke dunia seni selepas 10 tahun menghilang - “Perasaannya macam mula-mula nak jadi artis dulu... teruja”

Linda membuat kemunculan semula selepas lebih 10 tahun menghilangkan diri dari dunia hiburan tanah air.

SETELAH lebih 10 tahun menghilangkan diri, naib juara program realiti Akademi Fantasia (AF) musim ke-2 iaitu Linda Nanuwil muncul kembali mewarnai industri seni.

Linda atau nama sebenarnya Norlinda Nanuwil, 36, berkata dia masih aktif dalam bidang nyanyian dan tidak pernah terfikir untuk bersara dari dunia muzik.

ARTIKEL BERKAITAN: Noraniza Idris, Ayu Damit dan Mus May antara 14 peserta 'Gegar Vaganza 7'

Menurut penyanyi yang pernah popular menerusi lagu Jika Kau Kekasih, dia sangat teruja untuk membuat kemunculan semula memandangkan segala perancangannya sudah diatur baik.



Linda kembali sertai GV7.

"Sebenarnya sepanjang saya menetap di Sabah, saya aktif sahaja menyanyi dan banyak juga menerima undangan di sana.

"Tak pernah terfikir melupakan dunia seni sebab dengan cara inilah saya mencari makan. Cuma baru sekarang saya bersedia untuk kembali ke dunia seni arus perdana.

"Sekarang ini segala perancangan sudah diatur dengan baik. Sebab itulah saya katakan perasaannya macam mula-mula nak jadi artis dulu... rasa teruja," katanya kepada mStar.

Linda ditemui ketika sidang media memperkenalkan 14 peserta program realiti Gegar Vaganza musim ketujuh di Envi Skydiving, Menara Ta One, Kuala Lumpur pada Selasa.

Saya pula sedang merangka karier seni, jadi masanya seakan begitu mengena.

LINDA NANUWIL

PENYANYI

Selain Linda, lima peserta wanita iaitu Noraniza Idris, Rozita Izlyn, Ashira, Ayu Damit dan Haslinda.

Barisan peserta lelaki pula terdiri daripada Mus May, Aju, Oda, Nomad, Yantzen dan Cliff Umar manakala dua kumpulan lagi iaitu Eva serta Indigo.

Program yang dikendali oleh dua pengacara terkenal iaitu Nabil Ahmad dan Jihan Musa itu akan mula bersiaran secara langsung pada 11 Oktober depan.



Barisan peserta GV7.

Dalam pada itu, Linda memberitahu dia mengambil peluang untuk menyertai program tersebut yang sebelum ini tidak membuka ruang untuk bekas graduan AF.

"Sebelum ini mungkin ada yang tahu bahawa GV tidak membuka ruang pertandingan buat bekas graduan AF.

"Tahun ini berbeza dan saya terharu apabila dipilih untuk menyertainya. Saya terima pelawaan ini sebagai satu cabaran baru buat diri kerana peluang di depan mata.

"Saya pula sedang merangka karier seni, jadi masanya seakan begitu mengena," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain