suria

Shuib, Siti Sarah tidak ditahan reman - Peguam

Shuib dipanggil SPRM untuk membantu siasatan.

SUSULAN pelbagai spekulasi yang timbul selepas Shuib dan Siti Sarah dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Khamis lalu, peguam yang mewakili pasangan itu tampil menafikan beberapa dakwaan terhadap anak guamnya itu.

Muhammad Fadhli M. Sutris dari Fadhli Sutris & Associates berkata kehadiran anak guamnya hanya untuk memberi keterangan dan tiada sebarang tangkapan atau permohonan reman seperti dilaporkan media sebelum ini.

“Ingin kami sahkan disini bahawa anak guam kami tidak pernah ditahan reman oleh pihak SPRM mahupun terdapat sebarang permohonan reman dibuat keatas anak guam kami memandangkan kehadiran beliau di Pejabat SPRM hanyalah untuk memberi keterangan sahaja.

ARTIKEL BERKAITAN: Shuib, Siti Sarah dipanggil ke SPRM

“Rakaman keterangan beliau telah diambil dan selesai pada hari yang sama dan kemudiannya dibenarkan pulang setelah selesai proses tersebut manakala kehadiran Siti Sarah hanyalah untuk menemani suami beliau sahaja.

“Tiada sebarang tangkapan mahupun permohonan reman dibuat terhadap kedua-dua anak guam seperti yang telah dilaporkan beberapa media sebelum ini dan kesemua kenyataan yang bertentangan dan tular adalah tidak benar sama sekali, ” katanya.

Anak guam kami hanyalah untuk membantu proses siasatan pihak SPRM sahaja dan telah memberi kerjasama penuh.

MUHAMMAD FADHLI

PEGUAM

Dalam pada itu, Muhammad Fadhli memberitahu anak guamnya dinasihati untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kerana enggan menganggu proses perundangan.

“Kehadiran dan sebab mengapa mereka hadir di pejabat SPRM tidak dapat didedahkan buat masa ini memandangkan ia masih berada di dalam peringkat siasatan SPRM dan sebarang kenyataan mahupun keterangan berkenaan perkara tersebut akan mengganggu proses siasatan SPRM.

“Seperti yang telah kami nasihatkan dan untuk menghormati proses perundangan negara, anak guam mahupun pihak pengurusan mereka tidak digalakkan untuk mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan perkara tersebut.



Siti Sarah hanya menemani suami.

“Ingin kami tekankan sekali lagi bahawa kehadiran anak guam kami hanyalah untuk membantu proses siasatan pihak SPRM sahaja dan telah memberi kerjasama penuh dalam membantu siasatan tersebut.

Pada Khamis lalu, Shuib dan isterinya penyanyi Siti Sarah ini dilaporkan dipanggil hadir ke pejabat SPRM, Putrajaya berhubung pengubahan wang haram membabitkan perniagaan air yang dijalankan mereka.

Pengurus pasangan itu, Nana Mohamad Rom memberitahu, Sarah hadir hanya untuk menemani suaminya dan tidak terlibat dalam siasatan tersebut.

Terdahulu, Sarah menerusi Instagram turut meluahkan rasa syukur dan memberitahu mereka hadir bagi memberikan kerjasama penuh terhadap siasatan tersebut.

"Alhamdulillah Syukur... kami dipanggil untuk memberikan kerjasama dan menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain