suria

Farisha Iris tergores hati jawapan Azzam Sham dalam MeleTOP - “Mereka seperti gembira atas penyingkiran saya”

Farisha Iris kecewa apabila mendengar kenyataan Azzam dalam program MeleTOP.

PESERTA Big Stage 2020, Farisha Iris tergores hati dengan kenyataan penyanyi Azzam Sham semasa temubual secara langsung dalam program MeleTOP, Selasa lalu.

Menurut Farisha, dia kecewa apabila jawapan yang diberikan oleh Azzam dan empat peserta lain seolah-olah meraikan penyingkirannya dalam program realiti itu.

"Saya tak sedih langsung kerana tersingkir. Tiada terlintas di hati... tetapi saat melihat video itu, saya kecewa dan sedih atas kenyataan tersebut seolah-olah gembira atas penyingkiran saya.

ARTIKEL BERKAITAN: Emosi Qody jadi ‘mangsa’ Big Stage, layak masuk final selepas gimik tersingkir bersama Farisha Iris

"Kenyataan tersebut seolah-olah, 'nasib baik Farisha yang tersingkir dan bukan Qody'... sepatutnya tahu program itu siaran langsung, seharusnya tahu etika menjawab soalan dan menjaga sensitiviti," katanya.

Penyanyi lagu Bebel itu menulis luahan hatinya menerusi laman Twitter pada Sabtu.



Luahan kecewa Farisha di Twitter.

Menerusi temubual dalam program MeleTOP, pengacara Nabil Ahmad dan Wawa Zainal bertanyakan kepada lima penyanyi yang layak ke pentas akhir mengenai perasaan mereka tanpa saingan peserta wanita.

Menjawab pertanyaan tersebut, Azzam memberitahu dia menerima banyak komen daripada peminat yang hairan melihat mereka lebih bersedih apabila nama Qody diumumkan antara yang akan tersingkir.

"Ramai orang tanya bila Farisha tersingkir kami semua tak nangis tapi bila abang Qody (hampir) tersingkir kami menangis, mereka pelik!," jawab Azzam.

Saya tak benci dia, dia kawan saya. Saya sayang persahabatan ini tetapi ia mengecewakan saya. Jangan risau saya tak simpan dendam cuma bersedih!

FARISHA IRIS

PENYANYI

Luahan kecewa Farisha itu menerima pelbagai reaksi daripada pengikut dan ada yang memintanya berfikir secara rasional serta tidak menjadikan hal itu sebagai isu yang akan merosakkan persahabatan mereka.

Bagaimanapun, Farisha berkata dia memerlukan sedikit masa untuk mengubati kekecewaan itu.



Lima peserta akhir di temubual dalam program MeleTOP, baru-baru ini.

"Anda semua boleh terangkan apa sahaja anda mahu kerana anda tak rasa apa saya rasa. Kamu bukan di tempat saya. Kamu tak tahu apa saya rasa.

"Saya tak benci dia, dia kawan saya. Saya sayang persahabatan ini tetapi ia mengecewakan saya. Jangan risau saya tak simpan dendam cuma bersedih.

"Hati yang hancur bukan mudah untuk diubati, ia memerlukan masa. Saya boleh gelak ketawa, happy go lucky tapi saya ada hati dan perasaan," ujarnya.

Pada konsert minggu ketujuh Ahad lalu, pengumuman penyingkiran Qody dan satu-satunya peserta wanita iaitu Farisha Iris di peringkat separuh akhir mengejutkan banyak pihak.

Namun, selepas beberapa minit pengumuman dibuat, Astro mengundang 'drama' apabila Qody dimasukkan semula sekaligus melayakkannya meneruskan perjuangan di pentas akhir Big Stage 2020.

Selain Qody dan Azzam Sham, penyanyi lain yang layak ialah Usop, Dinie Rashid dan Fadh Majid.

Konsert Akhir Big Stage 2020 akan berlangsung pada Ahad ini.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain