suria

Teruja setiap kali tengok persembahan abang, adik Haqiem Rusli ikut jadi penyanyi - “Zali masih muda... saya akan bantu dia bina nama”

Haqiem menyokong adiknya, Zali Rusli menjadi seorang penyanyi.

TERUJA melihat kejayaan abang dalam industri seni suara, adik kepada penyanyi Haqiem Rusli iaitu Zali Rusli turut memasang impian bergelar seorang penghibur.

Mengakui kagum semangat adik bongsunya itu, Haqiem berkata dia sentiasa memberikan galakkan dan menyokong karier penyanyi lagu Pewangi itu.

"Saya sebagai abang akan cuba sehabis baik untuk membantu membina nama Zali dalam industri... juga tidak keberatan untuk memberi tunjuk ajar melalui liku-liku dalam industri.

ARTIKEL BERKAITAN: Haqiem Rusli nak berdakwah - “Dah terlalu banyak cipta lagu cinta, kali ini nak beri nasihat kepada masyarakat”

"Dia pun masih muda lagi dan saya sentiasa memberikan galakkan untuk dia jadi penghibur dan buatkan orang sekeliling gembira dengan menyebarkan benda positif.

"Selain itu, dia dapat belajar tentang muzik, cara buat lagu dan berharap pembabitannya ini merupakan langkah permulaan yang baik untuk dia," katanya.

Abang memberi sokongan sepenuhnya untuk saya melangkah kaki sebagai anak seni tetapi harus memberi tumpuan juga pada pelajaran!

ZALI RUSLI

PENYANYI

Zali yang juga merupakan pelajar tingkatan tiga sedang mempromosikan lagu terbaharu nyanyiannya berjudul Pewangi.

Lagu ciptaan Haqiem Rusli dan Ibnu itu telah dilancarkan di laman YouTube FMC Music pada Jumaat.



Zali merupakan pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah.

Sementara itu, Zali berkata meskipun dia masih bersekolah namun pembabitannya dalam bidang seni mendapat restu orang tua.

Namun, mereka meletakkan syarat supaya dia tidak mengabaikan pelajaran dan haruslah pandai membahagikan masa sebaiknya.

"Saya memang sering mengikuti dan menonton persembahan abang, jadi saya rasa teruja dan menyimpan hasrat untuk berkongsi pentas dengan abang satu hari nanti.

"Setelah dilamar oleh syarikat rakaman FMC Music, ibu bapa saya mengenakan syarat tidak mengabaikan pelajaran.

"Abang memberi sokongan sepenuhnya untuk saya melangkah kaki sebagai anak seni tetapi harus memberi tumpuan juga pada pelajaran!," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain