PENINGKATAN jumlah kes Covid-19 sehingga mencecah tiga angka mengundang kebimbangan dan keresahan seluruh rakyat Malaysia. Pernah dijangkiti wabak itu, pelakon dan pengacara Ashraf Muslim berkata, pengalaman yang dilalui membuatkan dirinya sentiasa berhati-hati selain sering memberi peringatan di media sosial. ARTIKEL BERKAITAN: Ashraf Muslim bersedia jika ada persepsi negatif sebagai pesakit Covid-19 - “It's okay kalau tak nak bersalam sekalipun!” Malah Ashraf atau nama sebenarnya Muhd Ashraf Muslim, 39, juga meluahkan rasa syukur ketika itu dirinya tidak mengalami jangkitan yang teruk sehingga ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU). Ashraf pernah menjalani rawatan di hospital selepas disahkan positif Covid-19 pada April lalu. "Saya dah pernah lalui dan rasa macam mana kepayahan dan tertekan. Cuma tidak sakit sehingga ditempatkan di ICU... itu yang saya bersyukur. Bagi saya, semua orang kena tunjuk contoh. "Kadang-kadang kita segan nak salam jadi orang laga tangan. Kena tunjuk dan biar orang faham dan disampaikan pada orang lain. Nasihat saya... kena berhati-hati. Sebab kita tak tahu siapa yang terkena jangkitan. "Walaupun kita dah berjaga-jaga, tapi tetap kita tak tahu. Sebelum ini, di IG pun saya ada cakap, siapa yang balik dari Sabah sebelum 27 September perlu kuarantin, tapi ramai tak buat," kata Ashraf kepada mStar. Ashraf dipercayai dijangkiti virus tersebut setelah pulang dari menjalani penggambaran drama di Scotland pada 31 Mac lalu dan dimasukkan ke hospital pada 12 April lalu. Gelombang kali ini besar dan terlalu cepat berbanding sebelum ini. ASHRAF MUSLIM PELAKON Biarpun dia disahkan negatif Covid-19 sehari sebelum Ramadan namun pelakon itu memilih untuk tinggal lebih lama kerana ingin mengerjakan ibadah bersama-sama pesakit lain. Pada 7 Mei lalu, Ashraf dibenarkan pulang selepas hampir sebulan dikuarantin dan mendapat rawatan di Hospital Sungai Buloh. Dalam pada itu, pelakon filem Ada Apa Dengan Dosa ini berasa bimbang melihat segelintir masyarakat yang mempunyai sikap sambil lewa sehingga menyebabkan peningkatan kes secara mendadak sejak akhir-akhir ini. Ashraf bersama dua isteri dan anak-anaknya. "Risau bila melihat segelintir kita ada yang mengambil secara lewa. Sebelum ini, angka semakin berkurangan dan ada yang mengambil kesempatan. "Dulu masa awal-awal dulu orang nak sanitasi tangan setiap masa, nak jaga jarak, jarang keluar, tapi sekarang, apabila sudah lupa, sambil lewa, akibatnya sekarang kes naik mendadak, "Rasa-rasanya gelombang kali ini besar dan terlalu cepat berbanding sebelum ini. Bagi saya, ianya sudah menjadi sesuatu yang bahaya sangat untuk mereka yang tak kena. "Apabila jadi macam ini semua kelam-kabut. Sepatutnya dari peringkat awal sudah kena berjaga-jaga," ujarnya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!