suria

Artis popular sokong selamatkan alam sekitar dalam ‘IGEM virtual Green Concert 2020’

Datuk M. Nasir mempersembahkan lagu Rimba Tari Mustikal.

NAMA nama besar dalam industri seni suara tidak pernah gagal untuk turut melahirkan sokongan terhadap perjuangan menjaga alam sekitar.

Pada 16 Oktober lalu, satu konsert iaitu IGEM virtual Green Concert, diadakan sempena Persidangan dan Pameran Teknologi Hijau dan Produk Eco Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2020.

Persidangan itu berlangsung dari Isnin hingga Jumaat ini.

Pada Jumaat lalu, Konsert yang diacarakan oleh Joey Daud itu telah diadakan di Petaling Jaya yang boleh ditonton secara virtual di seluruh dunia menerusi laman web virtual.com.

Sudah pasti, banyak yang indah tentang tampil di dalam sebuah acara besar dengan matlamat yang murni sebegini.

Justeru artis-artis seperti Datuk DJ Dave, Datuk M.Nasir, Datuk Awie, Ella Aminuddin dan Siti Nordiana tampil bersuara - "tolong, kita semua perlu terus kekal bersatu, selamatkan alam sekitar ini."

Turut membuat penampilan adalah penyanyi muda, Asfan Shah dan Chubby Buskers.

Awie antara artis yang menyokong agar alam sekitar diselamatkan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, IGEM 2020 Shamsul Mohd Nor, konsert secara virtual (maya) ini adalah pemangkin untuk memperhebatkan kempen meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia mengenai kepentingan menjaga alam sekitar.

Ia juga sejajar Industri 4.0 yang memberikan pendedahan luas kepada adaptasi era digital.

“Melalui penganjuran virtual IGEM Green Concert ini kita berharap dapat mempertingkatkan kesedaran orang ramai yang juga peminat artis-artis ini untuk sama sama menghayati mesej yang ingin disampaikan oleh IGEM.

"Saya percaya melalui sentuhan hiburan sebegini, matlamat penganjuran acara kami lebih mudah untuk sampai dan diterima oleh golongan masyarakat," katanya.

Sementara itu M. Nasir pula menjelaskan mengenai pemilihan lagu Rimba Tari Mustikal sebagai dendangannya dalam konsert tersebut.

“Saya melihat lagu ini sangat sesuai kerana secara tidak langsung ia bercerita tentang alam, tentang keindahannya juga tentang usaha 'menodakannya' dengan apa yang diistilahkan sebagai pembangunan.

“Ia adalah segala galanya tentang kemanusiaan jika digali dengan lebih mendalam akan maksud lagu ini. Jadi saya turut berbesar hati kerana IGEM Green Concert berusaha untuk menyampaikan mesej mesej yang baik dan berguna ini kepada orang ramai, ” katanya.

Siti Nordiana turut membuat persembahan.

Artis-artis lain yang mengambil bahagian dalam konsert ini turut menyatakan sokongan dan dokongan padu tentang kempen kesedaran ini.

Ella secara tegas melahirkan kekesalan di atas sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak yang masih mengambil mudah mengenai penjagaan alam sekitar ini.

“Ella harap dengan konsert sebegini, kami dapat menyentuh mata fikir pihak pihak terbabit untuk lebih cakna, lebih peka akan natijah akibat tindakan mereka, ” ujarnya.

Datuk Dj Dave juga turut melahirkan sokongan mengenai kempen sebegini.

Beliau yang juga Penerbit Eksekutif acara menyatakan, sebagai anak seni sokongan paling kecil yang boleh mereka salurkan ialah dengan karya seni juga.

Beliau yang memilih lagu Di Desa Kasihku Tertumpah, demi mengimbas semula kenangan dan nostalgia kebanyakan orang tentang kehidupan di desa yang kebiasaannya dianggap sebagai kurang berlakunya pencemaran alam.

“Konsert sebegini, paling tidak, akan menjentik semula hati sesetengah penonton yang mungkin sudah alpa tentang alam yang kian terjejas ini. Kita perlu beri kesedaran secara berterusan agar bumi mampu dipelihara sebaiknya untuk tempoh masa yang lebih lama lagi, ” ujarnya.

Konsert yang dianjurkan sempena kempen meningkatkan kesedaran peri pentingnya penjagaan alam sekitar ini turut menyenaraikan lagu lagu antaranya, Terima Kasih, Oh La La Tropika dan Standing In The Eyes Of The World.

Joey Daud bertindak sebagai pengacara.

IGEM 2020 merupakan penganjuran kali ke 11 yang seumpamanya dan melibatkan penyertaan dari seluruh pelusuk dunia.

Bermula 19 hingga 23 Oktober, ia akan membahaskan beberapa topik utama yang melibatkan pengurangan 70 peratus populasi dunia yang tinggal di pinggir sungai, kerjasama menamatkan sisa plastik, pengurangan pelepasan gas dari rumah hijau dan teknologi diod pemancar (LED) yang lebih efisen.

Program ini diadakan secara virtual (maya) akan menyediakan akses 24 jam dan boleh ditonton di seluruh dunia menerusi laman sesawang virtual.com.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain