suria

Umbrella sedih hasrat buat 'comeback' musnah kerana Covid-19 - “Peminat memang ternanti-nantikan tapi keselamatan lebih penting”

Kumpulan Umbrella reda tidak dapat teruskan hasrat untuk mengadakan showcase pada Disember depan.

HASRAT kumpulan Umbrella untuk membuat kemunculan semula dengan mengadakan showcase istimewa pada Disember depan terpaksa dibatalkan berikutan pandemik wabak Covid-19.

Vokalis kumpulan, Zarul, 47, berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Putrajaya dan Wilayah Persekutuan sejak 12 Oktober lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Umbrella yakin 'Hilang' ulangi fenomena 'Ramalanku Benar Belaka', capai sasaran 100,000 tontonan YouTube

Biarpun berasa sedih namun Zarul menganggap tempoh PKPB yang dilaksanakan selama dua minggu itu memberi peluang mereka untuk memperbaiki mutu persembahan di masa kelak.



Zarul anggap tempoh PKPB memberi peluang untuk memperbaiki mutu persembahan mereka.

"Walaupun showcase sudah dibatalkan tapi kesempatan yang ada sepanjang tempoh PKPB di Selangor dan Putrajaya ini boleh digunakan sebaik yang mungkin.

"Sekurang-kurangnya kami dapat melakukan latihan untuk memperbaiki mutu persembahan di masa kelak," kata Zarul mewakili kumpulan Umbrella.

Showcase 25 tahun Umbrella sepatutnya dijadualkan berlangsung pada 5 dan 6 Disember depan sempena ulang tahun ke-25 penubuhan kumpulan tersebut.

Sekurang-kurangnya kami dapat melakukan latihan untuk memperbaiki mutu persembahan di masa kelak.

ZARUL

VOKALIS UMBRELLA

Menurut pengarah urusan Umbrella Music, Datuk Rizal Shah, keputusan yang diambil itu amat berat bagi pihak pengurusan dan kumpulan tersebut memandangkan banyak persiapan sudah dilakukan.

Dalam pada itu, Saiful selaku pemain drama menganggap langkah untuk membatalkan konsert tersebut merupakan jalan terbaik buat semua pihak terlibat terutama peminat mereka.

"Walaupun peminat memang ternanti-nantikan persembahan dari Umbrella tapi ini merupakan langkah yang terbaik demi keselamatan semua," katanya.



Umbrella bakal mengadakan konsert pada tahun hadapan.

Saiful merupakan orang yang bertanggungjawab menyatukan kesemua ahli asal Umbrella untuk kemunculan semula kumpulan itu dalam arena seni hiburan tanah air.

Selain Zarul dan Saiful, kumpulan yang baharu saja melancarkan lagu berjudul Hilang itu turut dianggotai oleh Rizal (gitar) dan Hafizz (pemain bass).

Pihak pengurusan Umbrella turut mengumumkan berita baik buat peminat apabila mereka merancang untuk mengadakan sebuah konsert 'Umbrella & Friends' pada tahun hadapan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain