PROGRAM realiti nyanyian berjudul Mic On yang menyelitkan elemen komedi akan bersiaran di Awesome TV, saluran 112 MYTV bermula 6 November depan. Apa yang menariknya, tiga pelawak terkenal iaitu Shuk Sahar, Fad Bocey dan Ropie mengalas tanggungjawab sebagai pengurus terhadap anak didik iaitu peserta yang bertanding bagi merebut wang tunai RM10,000. Pengarah, Unit Kandungan Awesome TV, Ezzan Zalilah Zulfadzli berkata, objektif program masih sama iaitu mencari bakat-bakat baharu untuk mewarnai industri seni tanah air. "Mic On merupakan program realiti nyanyian yang menampilkan kelainan dengan menyajikan perdebatan antara pengurus dan para juri. "Perdebatan itu akan diselitkan unsur-unsur komedi ketika sesi penilaian selepas setiap persembahan," ujarnya. Shuk dan Fad dilantik sebagai pengurus dalam program tersebut. Sesi ujibakat dijalankan pada Julai lalu bagi memilih 12 peserta yang layak menerusi beberapa ujian iaitu ujian personaliti dan ujian rawak. Peserta yang layak akan dipilih oleh tiga pelawak untuk menguruskan perjalanan mereka dalam pertandingan itu. Persembahan peserta akan dinilai setiap minggu oleh juri tetap iaitu Datuk M Nasir dan Mas Idayu. Program ini dihoskan oleh pengacara Nana Mahazan. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar! TONTON VIDEO PILIHAN!