suria

Dijatuhi hukuman penjara 8 bulan, bekas suami Ziana Zain fail rayuan

Bekas suami Ziana iaitu Armin Zaharin fail rayuan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

BEKAS suami penyanyi terkenal, Ziana Zain, Armin Zaharin Ahmad Zambri memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lapan bulan yang dijatuhkan terhadapnya kerana merotan tangan anak lelaki mereka.

Peguam, Amir Farid Mohd Nawawi yang mewakili Armin Zaharin, 55, berkata, rayuan itu difailkan pada tarikh sama anak guamnya dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Majistret Shah Alam, iaitu pada 28 September lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya Tak Dera Anak, Saya Ajar Mengaji” - Suami Ziana Zain Didakwa

Beliau berkata, rayuan itu sepatutnya ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nur Azizah Jaafar, pada Khamis, namun ditangguhkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Katanya, mahkamah menetapkan 19 November depan sebagai tarikh pengurusan kes yang baharu di hadapan Nur Azizah.

Sebelum ini, Majistret Sabreena Bakar @ Bahari menjatuhkan hukuman selepas mendapati Armin Zaharin bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan luka dan lebam di bahagian tangan anak lelakinya yang berumur sembilan tahun menggunakan sebatang rotan di sebuah rumah di Denai Alam, Shah Alam, antara jam 8 hingga 10.30 malam 24 Februari 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sabreena kemudian membenarkan pelaksanaan hukuman terhadap Armin Zaharin ditangguhkan sehingga proses rayuan selesai, namun menaikkan jumlah jaminan daripada RM5,000 kepada RM8,000.

Bekas ketua pramugara itu ditangkap pada 2 Mac 2018 selepas Ziana, 52, atau nama sebenarnya Siti Roziana Zin, membuat laporan polis pada 27 Februari tahun sama.

Ziana dan Armin Zaharin sah bercerai dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 12 Julai 2018.

Penyanyi yang popular dengan lagu 'Madah Berhelah' dan 'Putus Terpaksa' itu memfailkan tuntutan perceraian pada 3 April 2018 selepas Armin Zaharin enggan melafazkan cerai terhadapnya.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 9 Mei 1998 dan dikurniakan empat cahaya mata, iaitu tiga lelaki dan seorang perempuan dalam lingkungan umur 11 hingga 20 tahun. – BERNAMA



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain