SUSULAN masalah kesihatan yang tidak dapat dielakkan, penyanyi Nabila Razali terpaksa melupakan impiannya untuk menyampaikan lagu Peluang Kedua di pentas Separuh Akhir Muzik Muzik 35 (SAMM35) pada Ahad ini. Menurut pengurus Nabila iaitu Mohd Asrul Abdul Talib, keputusan itu dibuat selepas mendapatkan nasihat daripada doktor, guru vokal iaitu Datuk Syafinaz Selamat dan komposer lagu tersebut, Hael Husaini serta MFMF. ARTIKLEL BERKAITAN: Nabila Razali dituduh gadai maruah untuk dapat ‘job’ - “Saya dan team hanya buat kerja, kami tidak pernah ganggu sesiapa” Katanya lagi, biarpun sudah menjalani pelbagai rawatan namun berehat dalam jangka masa panjang merupakan pilihan terbaik buat Nabila. Nabila alami masalah kesihatan. "Nabila tak dapat membuat persembahan di SAMM35 pada Ahad atas masalah kesihatan yang tidak dapat dielakkan. Keputusan ini dibuat atas nasihat mereka yang berkepentingan. "Pelbagai usaha rawatan sudah dilakukan termasuk khidmat doktor pakar namun berehat dalam jangka masa yang panjang adalah jalan terbaik. "Ia keputusan yang sangat sukar buat Nabila berikutan peluang untuk menyanyi di pentas SAMM antara yang menjadi impiannya sebagai penyanyi. "Dia sudah menjalani latihan vokal sejak Oktober lalu dengan Syafinaz sebagai persiapan awal. Namun masalah ini dikesan sejak minggu lalu dan menjadi semakin teruk," katanya menerusi kenyataan rasmi. Nabila sepatutnya menyanyikan lagu Peluang Kedua pada malam Ahad, iaitu hari terakhir SAMM35. Pihak pengurusan masih mencari pengganti Nabila. Menerusi temu bual bersama mStar pada Isnin lalu, Nabila mengakui sedang menjalani pemulihan daripada sakit tekak yang berkemungkinan boleh menyebabkan dia tidak dibenarkan menyanyi. Biarpun begitu, pelakon drama Seindah Tujuh Warna Pelangi ini tetap berusaha melakukan persediaan yang rapi menjelang konsert SAMM35 yang bermula pada Jumaat. Dalam pada itu, pihak pengurusan Nabila masih dalam usaha mencari pengganti terbaik untuk menyampaikan lagu tersebut dan akan memaklumkan perkembangan mengenainya dalam masa terdekat. "Pihak kami masih mengusahakan siapa pengganti terbaik untuk lagu ini. Sebarang perkembangan mengenainya akan diberitahu kemudian. Pihak produksi juga sudah dimaklumkan tentang perkara ini," ujarnya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar! TONTON VIDEO PILIHAN!