suria

Shiha Zikir janji tak ‘overdo’, takut dibandingkan dengan Siti Nurhaliza - “Saya tidak akan ubah melodi lagu ini secara berlebihan”

Shiha akan menyampaikan lagu 7 Nasihat menggantikan Siti Nurhaliza di SAMM35.

PENYANYI Shiha Zikir mengakui terkejut ketika diberitahu bakal menggantikan Datuk Seri Siti Nurhaliza di pentas Separuh Akhir Muzik Muzik 35 (SAMM35).

Menurut Shiha, 33, biarpun gembira kerana diberi kepercayaan untuk menyampaikan lagu 7 Nasihat namun dia tetap gementar untuk menggalas tanggungjawab besar itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Shiha Zikir ‘terkena’ lagi! Jumlah tontonan video muzik di YouTube ‘ghaib’ - “Ia berlaku dengan kerap”

Pemilik nama Nurshiha Mohd Zikir ini turut menyedari berkemungkinan terdapat pihak yang akan membuat perbandingan nyanyiannya dengan penyanyi asal.

Shiha akan menyanyi lagu 7 Nasihat bersama Luca Sickta serta Kmy Kmo.

"Ketika dapat panggilan mengenai perkara itu, sudah tentu saya rasa terkejut... kemudian rasa sangat gembira sebab diberi kepercayaan.

"Tapi dalam masa sama, saya rasa sangat gementar sebab ini merupakan tanggungjawab yang besar untuk saya. Sudah tentu akan ada pihak yang buat perbandingan.

"Itulah lumrah kalau seseorang nyanyikan lagu org lain. Tapi tak ada siapa boleh lawan kehebatan Siti Nuhaliza. Bagi saya beliau dan lagu ini sudah cukup sempurna," katanya kepada mStar.

Apa yang saya boleh janji, saya akan cuba buat semampu mengikut cara saya tersendiri.

SHIHA ZIKIR

PENYANYI

Sebelum ini, Shiha pernah merakamkan versi cover lagu 7 Nasihat dan pernah dijemput untuk menyanyi bersama Siti secara langsung di Instagram milik penyanyi nombor satu negara itu.

Shiha akan menyampaikan lagu itu bersama komposer, Luca Sickta serta Kmy Kmo di pentas SAMM35 yang akan berlangsung pada Sabtu menerusi saluran TV3.

Shiha akan lakukan persembahan yang terbaik mengikut caranya.

Dalam pada itu, penyanyi lagu AEWO ini berjanji akan melakukan persembahan yang terbaik mengikut caranya tanpa mengubah melodi lagu tersebut secara berlebihan.

"Apa yang saya boleh janji, saya akan cuba buat semampu mungkin mengikut cara saya sendiri. Saya tak akan ubah melodi lagu ini secara berlebihan sebab ia sudah sempurna," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain