suria

Tangguh program hiburan? KKMM diarah kaji kewajaran selepas Alif Satar positif Covid-19

Ismail Sabri berkata Kementerian Kesihatan Malaysia sedang meneliti punca jangkitan Alif Satar.

SUSULAN penyanyi Alif Satar disahkan positif Covid-19, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) diarah mempertimbangkan kewajaran menangguhkan semua program hiburan memandangkan penyebaran wabak itu menunjukkan peningkatan ketara.

Bagaimanapun Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang meneliti punca penyanyi berkenaan dijangkiti virus maut itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Alif Satar positif Covid-19 - “Saya mohon maaf... keputusan ini mendukacitakan”

"KKM sedang meneliti sama jangkitan berlaku ketika dia membuat persembahan atau di luar (lokasi program). Rumah dia di Kuala Lumpur dalam kawasan PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)... jadi besar kemungkinan jangkitan tu berlaku di luar.

"Mengenai penangguhan, memandangkan hal berkaitan hiburan di bawah bidang kuasa KKMM, saya akan bawa isu ini untuk mereka pertimbangkan sama ada perlu ditangguhkan atau tidak," katanya menerusi sidang media pada Isnin.

Isu penangguhan program hiburan dibangkitkan berikutan kebimbangan orang ramai mengenai penyebarannya dalam kalangan penggiat seni jika gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Alif memohon doa agar diberikan kekuatan menempuh dugaan ini.

Pada Ahad Alif, 30, mengesahkan dia positif wabak itu selepas menjalani ujian saringan pada Sabtu.

Pada Jumaat Alif membuat persembahan pada separuh akhir Muzik Muzik 35 (SFMM 35) di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral Shah Alam.

Alif kini dirawat dan menjalani kuarantin di sebuah pusat perubatan di Melaka.

Dalam perkembangan berkaitan, ibu, bapa, adik bongsu dan pembantu peribadi Alif turut disahkan positif Covid-19.

Pengurus Alif, Adlina Abu Bakar ketika memaklumkan perkara itu berkata, ibu bapa Alif iaitu Nor Hafiza Muhammed, dan Mohamed Satar Ramli serta adiknya yang dikenali sebagai Jim menjalani ujian saringan pada Sabtu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain