suria

SFMM35 ditangguh, peminat harap Nabila Razali ada 'peluang kedua' - “Mungkin juga lagu itu mahu dinyanyikan oleh penyanyi asal”

Netizen mahu Nabila Razali nyanyi lagu Peluang Kedua di SFMM35.

PENANGGUHAN program nyanyian Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-35 (SFMM35) disambut baik oleh segelintir penonton terutamanya peminat kepada penyanyi Nabila Razali.

Ini kerana dalam tempoh tersebut, mereka berharap penyanyi lagu Peluang Kedua itu sudah sembuh daripada masalah kesihatan dan dapat membuat persembahan tanpa perlu diganti oleh penyanyi lain.

Menerusi laman sosial, rata-rata peminat meninggalkan komen mengharapkan Nabila menyanyikan sendiri lagu ciptaan Hael Husaini dan MFMF itu dalam merebut tempat ke pentas Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) yang akan berlangsung tahun depan.

ARTIKEL BERKAITAN: Nabila Razali terlepas peluang Separuh Akhir Muzik Muzik 35, siapa bakal nyanyi lagu Peluang Kedua?

Menjawab persoalan peminat itu, pengurus Nabila iaitu Mohd Asrul Abdul Talib berkata, impian peminat untuk menyaksikan Nabila mempersembahkan lagu itu berkemungkinan akan tercapai namun bergantung kepada keadaan kesihatan penyanyi itu.

"Kita akan melihat keadaan kesihatannya pada masa itu... jika sudah pulih sepenuhnya besar kemungkinan Nabila akan buat persembahan itu.

"Sejak awal lagi dia mahu menyanyikan sendiri lagu berkenaan tapi masalah kesihatannya yang agak serius membuatkan pihak pengurusan membuat keputusan demikian" katanya kepada mStar.

Dalam pada itu, Asrul berkata, dari sudut positif penangguhan program nyanyian itu seolah-olah memberi peluang untuk Nabila beraksi semula.



Nabila kini dalam proses pemulihan.

Justeru itu, Nabila memohon orang ramai mendoakan supaya dia segera pulih dan dapat menyempurnakan tugasan tersebut.

"Setiap apa yang berlaku pasti ada hikmah dan mungkin juga lagu tersebut mahu dinyanyikan oleh penyanyi asal.

"Nabila minta orang ramai doakan keadaan kesihatannya segera pulih," katanya.

Nabila minta orang ramai doakan keadaan kesihatannya segera pulih secepat mungkin!

ASHRUL

PENGURUS NABILA RAZALI

Pada Jumaat lalu, Nabila terpaksa melupakan impiannya untuk menyampaikan lagu Peluang Kedua di SFMM35 kerana masalah kesihatan yang tidak dapat dielakkan.

Mengikut jadual, lagu tersebut akan bersaing di episod ketiga SFMM35 yang sepatutnya bersiaran pada Ahad lalu.

Bagaimanapun, salah seorang penyanyi yang telah membuat persembahan pada episod pertama iaitu Alif Satar disahkan positif Covid-19.



Lagu Peluang Kedua mencipta fenomena tersendiri sejak dilancarkan April lalu.

Susulan itu, pihak produksi terpaksa menunda program tersebut sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Menerusi temubual bersama mStar baru-baru ini, Nabila mengakui sedang menjalani pemulihan daripada masalah tekak yang berkemungkinan boleh menyebab dia tidak boleh menyanyi dalam tempoh yang panjang.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain