suria

Isteri Alif Satar mengaku emosi terganggu, sudah siap kemas baju tunggu ambulans - “Jika saya dapat keputusan berbeza dengan anak-anak, apa jadi pada mereka?”

Sha Dila kagumi semangat yang ditunjukkan oleh suami walaupun sedang berdepan bahaya Covid-19.

ISTERI kepada penyanyi Alif Satar iaitu Sha Dila Halid mengakui emosi terganggu selepas menerima berita mengejutkan suaminya disahkan positif Covid-19 pada Ahad lalu.

Menurut Sha Dila, dia seharian memikirkan tentang insan sekeliling terutamanya anak-anak yang berisiko untuk dijangkiti virus tersebut.

"Beberapa hari yang sukar, kalau pun ini bukanlah yang paling sukar. Berita buruk terus diterima dan saya mengalami gangguan jiwa malam itu sambil mengemas pakaian sekiranya ambulans datang mengambil kami.

ARTIKEL BERKAITAN: Alhamdulillah... Isteri dan anak-anak Alif Satar tidak dijangkiti Covid-19 - “Allah makbulkan doa kalian”

"Memikirkan jika saya mendapat keputusan berbeza dengan anak-anak, apa akan jadi dengan mereka? Boleh ke saya berpisah dengan mereka? Siapa yang nak jaga mereka? Berapa lama? Ini bukan menyakitkan fizikal... ini lebih mental bagi saya.

"Tahun ini sangat mencabar untuk semua, walaupun mereka yang tidak mempunyai Covid, kita terkesan dari segi ekonomi, mental atau fizikal," katanya menerusi Instagram pada Selasa.



Sha Dila kongsi luahan hatinya di laman Instagram.

Pada Ahad lalu, Alif memaklumkan dia didapati positif COVID-19 selepas menjalani ujian calitan di Hospital Melaka.

Pengurusnya iaitu Adlina Abu Bakar mengesahkan ibu, bapa dan adik perempuan penyanyi I want You To Love Me ini turut dijangkiti wabak itu.

Walaupun sukar menerima ujian berat ini, Sha Dila berkata dia terus kuatkan diri untuk berdepan dugaan ini bagi memastikan anak-anak tidak dijangkiti virus tersebut.



Sha Dila bimbang keselamatan anak.

Dalam masa sama, dia turut mengagumi Alif yang masih bimbang memikirkan keselamatannya serta orang sekeliling meskipun kini sedang dikuarantin di hospital.

"Ini belum berakhir, saya masih ada suami, ibu bapa mentua, adik dan saudara di hospital sedang bertarung melawan ini. Saya kena pastikan anak-anak tidak terdedah dengan benda ini.

"Untuk suami saya Alif Satar, wow... kamu permata yang tak ternilai harganya. Walaupun dijangkiti Covid, kamu masih bimbang tentang kami, keluarga, kawan-kawan dan rakan kerja. Awak sangat tenang, menyokong saya! Awak adalah hero saya, awak adalah inspirasi saya. Allah sangat menyayangimu.



Ayah dan ibu Alif turut positif Covid-19.

"Kepada saudara-mara, Ayah Halid, Ayah Satar, mama, adik-beradik, saudara-saudara, sepupu-sepupu saya, datuk dan semuanya... saya sayang anda!" ujarnya yang turut memaklumkan ujian saringan mendapati dia dan anak-anak tidak dijangkiti Covid-19 pada Selasa.

Dalam pada itu, Sha Dila berkata dia dan anak-anak perlu menjalani ujian saringan kedua bagi memastikan mereka benar-benar bebas daripada jangkitan virus berkenaan.

"Syukur Ya Allah. Ini bukan pengakhiran, kita masih perlu menyokong mereka yang mungkin terkesan kerana virus ini.

"Kami semua masih perlu buat ujian lagi untuk memastikan... tapi buat masa ini Alhamdulillah dan terima kasih semua. Semoga kebahagian dan kegembiraan berada disekeliling kita," katanya.

Alif dan Sha Dila mendirikan rumah tangga pada September 2014 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Alisha Anugerah, 5, Ariana Mecca, 3, dan Muhammad ‘Ali yang kini berusia satu tahun.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain