"USTAZ tolong sangat sampaikan pada semua andai saya pergi, saya nak minta maaf pada semua ya. Saya sayang semua orang. Saya nak reda Allah," kata-kata Bob Lokman yang menyentuh hati pendakwah Ustaz Ebit Lew pada Ahad. Kisah kesusahan ditanggung penulis lirik lagu Isabella yang memerlukan bantuan untuk kos rawatan dan pemasangan alat Implantable Automatic Cardioverter Defibrillator (IACD) mendapat perhatian Ebit Lew. ARTIKEL BERKAITAN: “Kali ini sakitnya agak serius, kaki bengkak kehitaman” - Bob Lokman dimasukkan ke hospital kerana masalah buah pinggang Sebaik sahaja mengetahui berita tersebut, pendakwah terkenal itu terbang ke Pasir Mas, Kelantan untuk menziarahi Bob atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman, 56. Ebit berkongsi video pertemuaanya dengan Bob. Menurut Ebit, Bob menitiskan air mata kerana terharu dengan kunjungan dan bantuan dihulurkan pendakwah itu untuk pembedahan jantung yang perlu dilakukan pada Isnin. "Sayu rasa hati tadi dari pembukaan Elewsmart terus fly ke Pasir Mas, Kelantan ziarah Bob Lokman. Penulis lirik lagu Isabella. Saya balik petang ini juga. Pergi balik hari. "Bila terbaca beliau memerlukan belanja untuk pembedahan jantung esok (Isnin). Kata bob, dia terharu saya datang jumpanya. Katanya, beliau fikirkan juga anak-anak kecil yang masih madrasah. "Tadi banyak berbual mengenai akhirat dan katanya teruskanlah ustaz membantu orang ramai. Bila beri sedikit belanja untuknya, Bob Lokman menangis saja tadi," tulis Ebit di laman Instagram miliknya, Tadi banyak berbual mengenai akhirat dan katanya teruskanlah ustaz membantu orang ramai. EBIT LEW PENDAKWAH BEBAS Ebit turut memuat naik video pertemuan mereka yang memperlihatkan Bob tidak dapat menahan air mata daripada terus mengalir. Sebelum ini, Konsortium Irama (IRAMA) dengan kerjasama Bapakku FM dan Islamictune mewujudkan Tabung Bantuan Untuk Bob Lokman yang mengidap sakit jantung. Pengerusi IRAMA, Ayob Abd Majid berkata, tabung itu bertujuan membantu kos perubatan Bob serta membeli alat kawal degupan jantung yang diperlukannya. Bob yang baru dibenarkan keluar hospital pada Jumaat lalu akibat masalah jantung terpaksa memohon bantuan dari segi kos rawatan dan pemasangan alat IACD yang mencecah RM60,000. Bob berharu dengan bantuan yang diberikan oleh Ebit. Dalam pada itu, Ebit turut berkongsi perbualannya bersama Bob Lokman yang ingin terus menyampaikan dakwah kepada masyarakat sekiranya dipanjangkan usia. "Segala ilmu, dakwah dan kebaikan abang Bob Lokman selama ini Allah balas. Insya-Allah panjang umur selamat semuanya, dia akan terus menyampaikan dakwah pada masyarakat," ujarnya. Pada Januari lalu, Bob dimasukkan ke Hospital UiTM Sungai Buloh akibat masalah buah pinggang. Bob juga pernah dimasukkan ke hospital yang sama pada 2015 dan kali terakhir pada Januari 2018 akibat masalah jantung bengkak serta paru-paru berair. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!