suria

Fizi Ali terbabit kemalangan dalam perjalanan ke konti waktu subuh... langgar kelibat melintas laju! - “Saya turun kereta tengok sekeliling tapi tiada apa”

Fizi Ali terbabit kemalangan jalan raya pada pagi Selasa.

PENYAMPAI radio Suria FM, Fizi Ali terbabit kemalangan jalan raya semasa dalam perjalanan ke konti stesen berkenaan yang terletak di Petaling Jaya, Selangor pada Selasa.

Menurut Fizi, kemalangan yang berlaku pada pukul 5 pagi itu menyebabkan kenderaannya rosak teruk sehingga perlu mendapatkan bantuan khidmat penunda.

"Waktu itu biasanya saya memang bergerak ke konti melalui lebuh raya, jalan lengang dan tak banyak kenderaan... semasa nak keluar tol Damansara, entah macam mana ada kelibat melintas laju dan saya terlanggar.

ARTIKEL BERKAITAN: Video Fizi Ali dikacau anak ketika bersiaran dari rumah tarik perhatian netizen - “Kalau dengar bunyi pelik korang diam-diam je la”

"Kelibat itu macam seekor anjing, kuat juga hentaman sampai radiotar kereta pecah dan bahagian depan kereta rosak teruk. Saya turun kereta untuk tengok, tapi tak ada apa.

"Mujurlah tak ada apa-apa yang buruk berlaku dan saya berada dalam keadaan baik-baik sahaja," katanya kepada mStar.

Keadaan kenderaan Fizi yang terbabit kemalangan pada pagi Selasa.

Sementara itu, suami kepada pelakon Shakilla Khoriri ini berkata, dia sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan keretanya kini dihantar ke bengkel untuk dibaiki.

"Saya dah buat laporan polis... polis pun terkejut sebab tak sangka sampai rosak macam tu. Kami pun hairan kalau betul anjing macam mana boleh ada tengah-tengah highway.

Saya turun kereta untuk tengok, tapi tak ada apa.

FIZI ALI

PENYAMPAI SURIA FM

"Kereta sudah dihantar ke bengkel untuk dibaiki, sementara nak tunggu proses tuntutan insurans dan sebagainya, saya terpaksa cari kereta sewa untuk kegunaan harian.

"Gara-gara insiden ini, terpaksalah Issey mengendalikan Team Pagi Suria sendirian pada hari ini, kasihan dia tak pernah seorang diri," ujarnya.

Penyampai Team Pagi Suria dari kiri; Issey, Ajak dan Fizi Ali.

Dalam pada itu, Fizi turut menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan peka dengan keadaan persekitaran semasa berada di atas jalan raya.

"Walaupun kita rasa jalan lengang dan sunyi, masih kena berhati-hati dan sentiasa pantau kiri dan kanan kenderaan kita, jangan leka atau rasa sentiasa selamat.

"Malang ni tak berbau, kena sentiasa berwaspada dan perhatikan sekeliling kita apabila berada di atas jalan," katanya.

Selain Fizi dan Issey, Team Pagi Suria turut dikendalikan oleh Ajak dan bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat pukul 6 pagi hinggan 10 pagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain