suria

Norman Hakim kongsi berjaya khatam al-Quran, siap faham tafsir - “Kena seimbangkan dunia dan akhirat... kita ini pendosa”

Norman lebih fokus kepada pengertian maksud ayat lazim dalam solat.

PERKONGSIAN pelakon Norman Hakim di laman Instagram pada Sabtu mengenai keterujaannya berjaya khatam Al-Quran buat pertama kali untuk tahun 2020 menarik perhatian netizen di laman sosial.

Berbeza dengan tahun lalu apabila berjaya lakukan sebanyak dua kali, Norman berkata tahun ini dia hanya membaca dua muka surat dalam masa sehari kerana ingin fokus kepada pengertian maksud ayat lazim dalam setiap solat.

ARTIKEL BERKAITAN: Norman Hakim dapat idea 'Barzakh Challenge' selepas sertai kursus pengurusan jenazah - “Ini cara dekati golongan milenial”

"Saja nak kongsi berita gembira secara peribadi untuk diri di mana saya telah khatam buat kali pertama untuk tahun ini walaupun terlambat satu hari dari jangkaan.

"Saja saya nak kongsi tips... macam tahun lalu saya dapat khatam dua kali sebab saya baca empat muka surat dalam satu hari. Dalam masa lima bulan saya dapat khatam untuk kali pertama dan kali kedua, jadi 10 bulan.



Norman berkongsi kegembiraannya itu di laman Instagram.

"Cuma tahun ini, saya khatam untuk kali pertama dalam masa setahun sebab saya sasar dua muka surat dalam satu hari. Selain baca dan tadarus, saya baca tafsiran untuk faham pengertian maksud terutama ayat lazim dalam solat kita," katanya.

Pelakon berusia 44 tahun itu juga mengucapkan terima kasih kepada anaknya iaitu Mohammed Danish Hakim yang sentiasa menjadi inspirasi kepadanya untuk terus istiqamah dalam bertadarus dan bertadabbur.

Dalam pada itu, suami kepada aktres Memey Suhaiza ini menjelaskan tujuan dia berkongsi kegembiraan itu kerana ingin mengajak orang ramai melakukan perkara yang baik.

"Sesetengah orang mungkin rasa perkongsian ini macam 'alamak tak akan benda ini pun nak share'. Selama ini pun selalu kongsi kehidupan peribadi dan kerja... sekali sekala kita selit juga unsur kerohanian.

Dalam berkongsi itu, kita kena jaga supaya tidak timbul rasa riyak.

NORMAN HAKIM

PELAKON

"Pada saya, sangat penting tiga jam yang pertama selepas subuh dan sebelum memulakan kehidupan, peruntukkan masa untuk baca al-Quran. Seronok tau benda ini... mula-mula nak buat dulu paksa diri dan baca pun merangkak.

"Nak dapatkan momentum bukan sekelip mata boleh konsisten setiap hari. Tiba masa di mana kita tertinggal sehari dua, dapat rasa satu rindu. Ketika itu Allah jentik hati beri hadiah kita rasa rindu baca al-Quran," ujarnya.

Sementara itu, pelakon drama bersiri Gerak Khas: The Finale ini berharap perkongsian ini dapat memberikan manfaat kepada semua orang tanpa menimbulkan perasaan riyak dalam dirinya.



Norman berterima kasih kepada anaknya, Danish yang menjadi inspirasi kepadanya.

"Kita kongsi ini dapat sama-sama beri manfaat, Alhamdulillah. Dalam berkongsi itu, kita kena jaga supaya tidak timbul rasa riyak. Saya kongsi dalam keluarga tapi tergerak hati... mungkin pertunjuk daripada Allah, saya sebarkan kepada orang luar.

"Saya bersyukur atas doa kalian yang baik-baik untuk diri saya dan keluarga besar saya. Kita sama-sama jadikan perkara ini sebagai makanan atau rutin harian. Kena seimbangkan dunia dan akhirat. Kita ini pendosa... banyak dosa.

"Terutama diri saya... sebagai seorang lelaki, pemimpin diri dan keluarga, dosa yang kita tak sedar dalam pergaulan, bekerja dan sebagainya. Pengingatan diri dan perkongsian bersama," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain