suria

Rakam lagu sampai nak bertumbuk... Tajul Arif akui emosi terganggu kerana tak cukup tidur jaga anak

Tajul mengakui kurang tidur kerana anak meragam.

GARA-GARA perselisihan faham ketika sesi rakaman single baharu, penyanyi Tajul mendedahkan hampir bertumbuk dengan pencipta lagu terbaharunya berjudul Izinkan Aku iaitu Tuah Adzmi.

Bagaimanapun, pemilik nama Tajul Arif Noor Md. Shari ini mengakui insiden tersebut berlaku disebabkan kesalahan mereka sendiri yang tidak mahu memahami keadaan satu sama lain ketika itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tahun pertama raya sebagai bapa, Tajul seronok biarpun tak dapat balik kampung

Penyanyi berusia 22 tahun ini memberitahu, dia tidak dapat melakukan rakaman dengan baik kerana keadaan kurang sihat dan tidak dapat tidur dengan cukup disebabkan anaknya iaitu Adriana Carisa meragam.



Tajul minta maaf pada Tuah Adzmi.

"Sebenarnya saya tak nak sebut tentang hal ni, sebab saya tak suka besar besarkan perkara yang remeh. Tapi kalau dia masih nak bermasam muka itu hak dia. Sebab saya lebih suka bersikap profesional.

"Ya, saya mengaku ada silap saya tetapi bila dia tak nak faham keadaan saya waktu itu dan menuduh saya membuat rakaman sambil lewa... saya tak boleh terima.

"Kebetulan saya kurang sihat dan tak cukup tidur kerana malam sebelum itu anak saya meragam, sebab itu tumpuan dan suara saya agak kurang baik sewaktu rakaman tu berlangsung," kata Tajul kepada mStar.

Buat pertama kali, adik kepada penyanyi Allahyarham Achik Spin itu menyanyikan lagu ciptaan Tuah Adzmi yang dilancarkan di saluran Youtube pada Khamis lalu.

Apa yang saya lakukan kini hanyalah untuk isteri dan anak saya.

TAJUL ARIF

PENYANYI

Tajul mendirikan rumah tangga dengan isterinya iaitu Nurul Shamieza pada tiga tahun lalu dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan bernama Adriana Carisa yang kini berusia setahun.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Rindu Dalam Benci ini mendedahkan kesabarannya menjadi semakin tipis apabila Tuah Adzmi mengeluarkan kata-kata tidak enak didengari dan memaksanya untuk menyelesaikan sesi rakamn tersebut.

Pergaduhan antara mereka akhirnya terlerai dan saling memohon maaf selepas menerima panggilan daripada Mr. Ho yang merupakan pengarah syarikat rakaman FMC Sdn Bhd.



Tajul tampil dengan lagu terbaharu berjudul Izinkan Aku.

"Saya cuma minta dia faham keadaan saya dan minta tangguhkan sesi rakaman tetapi dia tetap memaksa saya selesaikan rakaman vokal tu dan mengeluarkan kata-kata yang tak sedap saya dengar dan mencabar tahap kesabaran saya.

"Saya dah pun minta maaf pada Tuah. Saya amat menyesali atas apa yang berlaku, dan mungkin salah saya juga kerana tak dapat kawal emosi.

"Sudah nak masuk tahun baharu, tambahan pula saya kini suami orang dan bergelar ayah, jadi saya tidak mahu perkara negatif mengganggu hidup dan perjalanan kerjaya saya.

"Apa yang saya lakukan kini hanyalah untuk isteri dan anak saya. Saya nak cari nafkah yang halal sebanyak mungkin demi mereka berdua" ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain