suria

Tak sempat nikah, anak saudara Noraniza Idris maut lemas mandi laut - “Dia pernah beritahu nak tema tradisional”

Naim anak saudara Noraniza Idris ditemui lemas di Pantai Kelulut, Terengganu.

PENYANYI Noraniza Idris reda dengan pemergian anak saudaranya Allahyarham Naim Hariri Kamaruddin, 31, yang ditemukan lemas di Pantai Kelulut, Terengganu, pada Ahad.

Noraniza, 52, menyifatkan Naim merupakan seorang pemuda yang sangat baik dan anak saudara yang cukup rapat dengannya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Bila saya jumpa Mike, ternyata orangnya baik” - Noraniza Idris, Michael Ang sudah berdamai

Tambah penyanyi lagu Dondang Dendang ini, kali terakhir mereka bertemu kira-kira 10 hari lalu dan menyedari Allahyarham kurang bercakap tidak seperti biasa.

"Saya sedih dan terkilan dengan cara arwah pergi sebab dia bukan tidak tahu berenang. Tapi yelah... kalau tengok daripada video memang air sangat deras.

"Mungkin sudah sampai masanya, ajal maut semua di tangan Tuhan, saya reda dengan pemergian arwah.

Naim merupakan anak saudara yang rapat dengan Noraniza Idris.

"Kali terakhir saya jumpa Allahyarham kira-kira 10 hari lalu, masa itu memang kebetulan terjumpa dia sebab peminat raikan kemenangan saya di konsert akhir Gegar Vaganza 7.

"Pertemuan itu memang tidak disangka tapi dia macam biasa salam saya dan suami. Cumanya dia kurang sedikit bercakap hari itu, tak ramah macam selalu," katanya kepada mStar.

Dia menyatakan hasrat nak adakan majlis tema tradisional macam saya buat untuk majlis perkahwinan anak sulung, Aliff dua tahun lalu. Tapi hasrat dia tak tercapai

NORANIZA IDRIS

PENYANYI

Tambah Noraniza, menerusi pertemuan itu juga, Allahyarham menjemput dia sekeluarga bagi menghadiri majlis perkahwinannya yang dirancang di pada 9 Januari nanti.

Malah katanya, Naim turut meluahkan hasrat untuk mengadakan majlis itu dengan tema tradisional.

Hasrat Allahyarham Naim untuk mendirikan rumah tangga tidak kesampaian.

"Arwah ada jemput saya dan suami untuk hadir majlis perkahwinan yang dia buat secara kecil-kecilan pada Januari nanti... Allah lebih sayangkan dia.

"Dia menyatakan hasrat nak adakan majlis tema tradisional macam saya buat untuk majlis perkahwinan anak sulung, Aliff dua tahun lalu. Tapi hasrat dia tak tercapai, ” katanya.

Terdahulu, mayat Allahyarham Naim ditemukan kira-kira pukul 10.10 pagi Ahad oleh pasukan penyelamat selepas tiga hari hilang sejak Jumaat di pantai berkenaan akibat ditarik ombak ketika sedang mandi.

Allahyarham Naim merupakan ahli fisioterapi berkunjung ke Terengganu bagi melangsungkan pernikahan dengan gadis pilihan hati yang sepatutnya berlangsung pada Sabtu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain