suria

Hasrat Adam Izzy nak kolaborasi dengan Yonnyboii, Sonaone dan Altimet tak tercapai - “Saya e-mel semua penyanyi rap di Malaysia tapi seorang pun tak balas”

Adam Izzy menulis lirik Menanti berdasarkan kisah percintaannya.

SELEPAS menceburi dunia pengacaraan, alih suara iklan radio dan pernah menjadi penyampai radio Hitz FM, kini Adam Izzy mencuba nasib dalam bidang nyanyian pula.

Adam, 28 yang kini tampil dengan single kedua berjudul Menanti bersama Mimi Fly memberitahu, dia menulis lirik lagu tersebut berdasarkan kisah percintaan dengan tunangnya iaitu Melissa.

"Lagu ini merupakan lagu Melayu pertama yang sepenuhnya saya tulis sendiri. Memang dicipta berdasarkan kisah cinta saya dengan tunang. Kami sudah menjalinkan hubungan cinta selama 12 tahun.



Adam masukkan semua emosinya dalam lagu tersebut.

"Tapi ada ketika itu, kami berpisah selama setahun. Jadi, lagu ini saya masukkan semua emosi saya sepanjang tempoh kami berpisah itu. Tunang saya yang minta putus dan dia pernah kata kami tak kan bersama lagi.

"Mungkin ketika itu kami masih muda dan berpisah bukan sebab tak sayang sebalik banyak benda yang perlu belajar. Judul lagu itu sendiri menunjukkan yang saya menantikan dia selama setahun," katanya kepada mStar.

Biarpun sudah menjejak kaki dalam dunia nyanyian namun Adam masih aktif menjadi pelakon alih suara iklan di stesen radio dan pengacara majlis.

Judul lagu itu sendiri menunjukkan yang saya menantikan dia selama setahun.

ADAM IZZY

PENYANYI

Lagu yang mendapat sentuhan komposer dan penerbit MFMF itu mula dilancarkan di saluran YouTube pada 19 November tahun lalu.

Dalam pada itu, Adam memberitahu lagu tersebut sepatutnya dilancarkan lebih awal namun terpaksa ditunda berikutan pandemik Covid-19.

Adam juga mendedahkan sebelum Mimi bersetuju untuk bekerjasama, dia ada menghantar emel kepada penyanyi rap antaranya Yonnyboii, Sonaone dan Altimet namun tidak menerima respons daripada mereka.



Adam teruja apabila mengetahui Mimi suka dengan lagu tersebut.

"Lagu ini saya tulis sekitar Oktober 2019 dan sepatutnya dilancarkan pada tahun lalu namun berikutan pandemik Covid-19, terpaksa ditangguh dan sekarang baharulah dilancarkan.

"Sebenarnya sebelum saya jumpa Mimi, boleh katakan saya emel semua penyanyi rap yang ada dalam Malaysia antaranya Yonnyboii, Sonaone dan Altimet tapi tak ada seorang pun yang balas.

"Kebetulan, kawan saya ada kenalan dengan Mimi dan dia terdengar lagu itu, terus rasa suka. Jadi, bila dia nak bekerjasama dengan saya untuk lagu ini memang saya terus setuju," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain