suria

Pengarah Shuhaimi Lua reda larangan ‘shooting’ sepanjang PKP - “Tiada pilihan... kami terima dengan hati terbuka”

Shuhaimi lunaskan tugas dengan menyegerakan penggambaran drama bagi memastikan proses pembikinan tidak terganggu kerana PKP.

KEPUTUSAN kerajaan melarang aktiviti penggambaran di enam negeri yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Rabu ini diterima dengan hati terbuka oleh penggiat seni tanah air.

Salah seorang penerbit dan pengarah iaitu Shuhaimi Lua berkata dia dan produksi sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan memandangkan angka jangkitan Covid-19 menunjukkan trend peningkatan sejak hujung tahun lalu.

Justeru itu, Shuhaimi yang sedang mengarahkan drama Aku Yang Kau Gelar Isteri mengambil inisiatif mempercepatkan proses penggambaran selepas mendengar khabar angin mengenai pelaksanaan semula PKP awal tahun ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Finas jangan ‘angkat’ isu remeh! Pengarah kecewa isu mekap dapat keutamaan - “Lebih baik bantu kami selesai harga content”

“Sungguh pun terkejut dengan pelaksanaan semula PKP, tapi kita sentiasa bersedia sebab sejak awal tahun dah bertiup kencang mengenai perkara ini.

“Walaupun agak terjejas kerana penggambaran kebanyakan di Lembah Klang yang dikategorikan negeri PKP tapi kita terima dengan hati terbuka dan percaya ini untuk kebaikan semua pihak.

Shuhaimi baru selesai jalani penggambaran drama Aku Yang Kau Gelar Isteri yang akan bersiaran di slot Samarinda (TV3) setiap hari Isnin hingga Khamis pukul 10 malam bermula 17 Februari depan.

“Sejak awal lagi saya dah pendekkan jadual penggambaran... drama yang saya sedang shoot ini sepatutnya habis 20 Januari depan tapi kita selesaikan babak-babak terakhir hari ini (Selasa) supaya tidak mengganggu jadual yang ditetapkan stesen televisyen, ” katanya kepada mStar.

Sebelum itu, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menerusi kenyataan media berkata semua syarikat produksi tidak dibenarkan menjalankan aktiviti penggambaran di kawasan yang dikuatkuasakan PKP.

Namun, penggambaran boleh diteruskan di kawasan yang berada dalam tempoh PKP Bersyarat atau Pemulihan (PKPP) dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Kalau nak shoot di luar KL pasti menyebabkan kos yang lebih tinggi kepada produksi.

SHUHAIMI LUA

PENGARAH

Dalam pada itu, pemilik Tanah Beris Film Production Sdn Bhd ini mengakui terdapat kekangan untuk syarikat produksi meneruskan penggambaran di negeri lain kerana ia membabitkan kos yang tinggi.

“Susah juga sebab semua kru dan pelakon perlu rentas negeri... kebanyakan lokasi penggambaran memang di Lembah Klang sahaja.

“Kalau nak shoot di luar KL pasti menyebabkan kos yang lebih tinggi kepada produksi. Jika tiada pilihan, terpaksalah tangguh dahulu penggambaran, ” ujarnya.



Kebanyakan penggambaran drama di kawasan PKP iaitu di sekitar Lembah Klang.

Pada Isnin, Perdana Menteri Malaysia iaitu Tan Sri Datuk Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP dikuatkuasa di enam buah negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

PKP Bersyarat (PKPB) pula dilaksanakan di enam buah negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan manakala negeri Perlis dan Sarawak masih diteruskan dengan PKPP.

Dalam pada itu, Finas juga mengambil maklum mengenai kenyataan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang melibatkan senarai sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP.

Walau bagaimanapun, sektor industri kreatif tidak tersenarai sebagai sektor ekonomi yang dibenarkan dalam tempoh PKP buat masa kini.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain