suria

Cuba nasib sertai program realiti sejak 2006, akhirnya rezeki Aaron Abdul di pentas Mic ON! - “Tak sangka boleh menang tempat ketiga”

Aaron bersyukur berjaya menduduki tempat ketiga program Mic On! musim pertama.

PERNAH berputus asa disebabkan beberapa kali gagal sertai program realiti, penyanyi Aaron Abdul akhirnya meluahkan rasa syukur apabila berjaya beraksi di pentas Mic On! terbitan Awesome TV.

Aaron atau nama sebenarnya Harun Abdul berkata dia mengetahui tentang uji bakat Mic On! ketika sedang bekerja sebagai penggaya rambut untuk sebuah program terbitan Awesome TV.

ARTIKEL BERKAITAN: 12 minggu berentap di pentas Mic On!, Jiwa Firdaus muncul juara musim pertama

Penyanyi berusia 31 tahun ini bersyukur rezekinya bukan sahaja diterima menyertai program tersebut malah dia juga berjaya menduduki tempat ketiga.



Aaron (kanan) bersama juara, Jiwa dan naib juara, Ainnur.

"Sebenarnya sejak 2006 lagi saya dah cuba untuk sertai program realiti tapi nasib tidak menyelebelahi saya. Pernah juga saya rasa putus asa untuk cuba.

"Tapi untuk program Mic On! ini sebenarnya berlaku secara kebetulan. Ketika itu, saya ada buat rambut untuk sebuah program terbitan Awesome TV dan kebetulan pihak produksi tanya saya boleh berlakon ke.

"Saya cakap, saya hanya boleh menyanyi dan terus cadang saya pergi uji bakat Mic On!. Alhamdulillah, rezeki saya terpilih menjadi top 12 dan tak sangka boleh menang tempat ketiga," katanya kepada mStar.

Sebenarnya sejak 2006 lagi saya dah cuba untuk sertai program realiti tapi nasib tidak menyelebelahi saya

AARON ABDUL

PENYANYI

Pentas akhir Mic On! yang dikendalikan oleh pengacara Nana Mahazan pada malam, Jumaat lalu menyaksikan penyanyi Jiwa Firdaus bergelar juara manakala Ainnur di tempat kedua.

Persembahan Jiwa, Ainnur, Aaron dan lapan lagi perserta program Mic On! setiap minggu diadili oleh juri tetap iaitu Datuk M Nasir dan Mas Idayu.

Dalam pada itu, Aaron memberitahu dia sebelum ini merupakan artis di bawah syarikat rakaman Mixology Music Sdn Bhd selama dua tahun dan sudah mempunyai lima buah lagu.

Bagaimanapun, selepas tamat kontrak Aaron kembali memberi tumpuan kepada perniagaan kedai gunting rambut yang sudah diusahakan sejak 2014.



Aaron akui perniagaan kedai gunting rambut miliknya terkesan berikutan pandemik Covid.

"Sebenarnya sebelum ini, saya penyanyi di bawah syarikat Mixology dari 2016 hingga 2018 dan saya sudah mempunyai lima buah single. Selepas kontrak tamat, saya fokus pada kedai gunting rambut.

"Kedai saya bersama rakan kongsi itu sudah diusahakan sejak 2014 lagi. Tapi sejak pandemik ini, sejujurnya memang agak terkesan la juga. Tapi saya tidak terlalu tertekan dari segi kewangan.

"Alhamdulillah, saya pun ada perniagaan lain selain kedai itu. Tapi saya cuma runsing soal bayaran sewa kedai sahaja. Nasib baik pemilik bangunan memahami situasi dan bertolak ansur dalam soal sewa," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain