suria

Michael Ang dikritik tak sensitif ajak keluarga beraya di pasar malam - "Saya bergurau... tak boleh terima sila unfollow"

Michael Ang jelaskan dia hanya bergurau mengenai perjumpaan keluarga di pasar malam memandangkan rakyat masih lagi terikat dengan SOP yang ketat.

PENGARAH Michael Ang tidak menyangka gurauan yang meminta semua ahli keluarganya untuk berjumpa di pasar malam sempena meraikan sambutan Tahun Baharu Cina (CNY) telah disalah tafsir oleh netizen.

Menerusi posting di Instagramnya, Michael atau lebih dikenali sebagai Mike menjelaskan pandangan yang dimuat naiknya itu hanya respons terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang diumumkan kerajaan berhubung sambutan CNY yang bakal disambut minggu depan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Michael Ang suka ambil pelakon sama, Janna Janna Janna... bagilah heroin baharu” - Ini komen balas pengarah ‘Marry Me, Senorita

ARTIKEL BERKAITAN: PKP: Kedai gunting rambut, cuci kereta dan pasar malam boleh beroperasi, tapi ada syaratnya

"Chill la saya gembira pasar malam dah buka semula dan orang boleh berniaga.

"Saya hanya bergurau bila keluarga saya cakap kami semua tak boleh balik rumah mak (bagi meraikan CNY), jadi saya cadangkan kepada semua (ahli keluarga) pergi pasar malam untuk berjumpa.

"Saya rasakan benda itu kelakar dan pasal itulah saya post. Janganlah emosi sangat dan nak cakap pasal kaya dan miskin," katanya.

Michael Ang hanya sekadar bergurau mengenai pertemuan dengan keluarga di pasar malam.

Menurut pengarah drama Marry Me, Senorita ini, dia tidak mempunyai niat untuk memperkecilkan peniaga pasar malam menerusi muat naiknya itu.

"Ia hanya gurauan semata-mata tanpa niat nak memperkecilkan peniaga pasar malam.

"Tak suka apa yang saya post, sila unfollow. Kalau awak tak boleh terima gurauan itu, awak adalah seorang yang toksik dan tak boleh dibawa bergurau," katanya lagi.

Netizen sebelum ini mempertikaikan kenyataan yang dikeluarkan Mike sebagai tidak sensitif dengan keadaan semasa yang sedang melanda negara berikutan penularan pandemik Covid-19.

Kenyataan Mike itu juga didakwa netizen sebagai tidak menghormati situasi sesetengah masyarakat yang begitu terkesan daripada segi kewangan sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) kembali dilaksanakan pada 13 Januari lalu.

Saya rasakan benda itu kelakar dan pasal itulah saya post. Janganlah emosi sangat dan nak cakap pasal kaya dan miskin.

MICHAEL ANG

PENGARAH

Michael Ang menyarankan netizen yang tidak memahami gurauannya untuk unfollow Instagramnya.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis mengumumkan sambutan CNY pada tahun ini hanya boleh diadakan dengan mengikut SOP yang lebih ketat.

Antara SOP tersebut ialah sambutan perayaan hanya dibenarkan di rumah kediaman bersama ahli keluarga dari rumah yang sama sahaja.

Selain itu, kerajaan juga telah bersetuju untuk membenarkan kedai gunting rambut, kedai cuci kereta dan pasar malam beroperasi sepanjang tempoh PKP.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain