suria

Macam tak percaya Wawa Zainal pernah menyesal kahwin dengan Aeril Zafrel - “Kami bergaduh, saya cakap... aku tak nak dekat kau!”

Wawa mengakui dia tidak mampu meneruskan hidup tanpa Aeril di sisi.

PELAKON Wawa Zainal mengakui pernah memendam perasaan selain terdetik rasa menyesal berkahwin dengan suaminya yang juga aktor Aeril Zafrel ketika popularitinya sedang memuncak.

Lebih kusut Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin mengakui turut berasa terbeban dengan permintaan Aeril agar dia memakai tudung sebelum keluar rumah.

ARTIKEL BERKAITAN: Temui tiga objek misteri, Aeril Zafrel dan keluarga hampir kena sihir - “Sekiranya ada tidak puas hati marilah berjumpa secara nyata”

Bagaimanapun, pelakon berusia 30 tahun itu meluahkan rasa syukur dipertemukan dengan seorang suami yang penyabar sehingga berjaya membimbingnya ke arah yang lebih baik.

Wawa berkongsi perkara itu ketika sesi temu bual di IG Live Dr Prof Muhaya.

"Ketika itu saya tengah popular dan berada di puncak... apabila saya berkahwin dengan dia, rasa macam... eh menyesalnya aku kahwin dengan kau! Tak dapat semua yang aku nak, tak hidup mewah dan kahwin pun atas dasar cinta itu buta.

"Ingat lagi waktu saya free hair selepas berkahwin... dia kata saya tak boleh keluar rumah kalau tak pakai tudung. Permulaan itu memang susah tapi lama-lama saya reda sebab tutup aurat itu wajib.

"Kalau dia tak sabar... mungkin saya dengan dia dah tak ada. Tapi disebabkan kesabaran dia, saya rasa semakin hari semakin kagum dengan sikap dia yang berjaya pimpin saya.

"Ketika zaman bujang, saya selalu berdoa kepada Allah supaya dipertemukan dengan seseorang yang boleh pimpin saya ke syurga dan perbetulkan solat saya. Alhamdulillah... saya bertemu dengan dia," kata Wawa.

Saya sedar tak boleh hidup tanpa dia... waktu itu, saya berubah 360 darjah.

WAWA ZAINAL

PELAKON

Pelakon drama Patahnya Sebelah Sayap ini berkongsi perkara itu ketika sesi bual bicara dalam Instagram live (IG Live) bersama Datuk Prof Dr Muhaya Mohamad.

Dalam pada itu, Wawa memberitahu sikap buruknya sebelum ini juga pernah membuatkan Aeril hilang sabar dan bertindak keluar daripada rumah untuk seketika.

Ujar Wawa situasi itu membuka matanya kerana menyedari dia tidak mampu meneruskan hidup tanpa Aeril lalu mengambil keputusan untuk berubah menjadi seorang isteri yang lebih baik.

"Perangai saya dahulu cakap main lepas dan tak fikir perasaan dia. Pernah satu hari, kami bergaduh dan saya cakap... aku tak nak dekat kau! Pada hari itu, dia terus kemas barang dan keluar rumah.

Pasangan ini dikurniakan tiga cahaya mata.

"Apabila saya balik rumah, tengok dia dah tak ada. Ketika itu baharu saya sedar selama ini, mulut saya kata boleh hidup tanpa dia... tapi apabila dia hilang daripada pandangan saya, dunia saya terus menjadi gelap.

"Saya sedar tak boleh hidup tanpa dia... waktu itu, saya berubah 360 darjah. Saya jadi isteri yang baik untuk dia. Kehidupan kami pun berubah sedikit demi sedikit. Daripada hidup susah, rezeki datang tanpa diduga.

"Kadang-kadang terkejut juga kami boleh sampai ke tahap sekarang disebabkan saya ubah sikap itu. Kami perbaiki hubungan suami isteri dan dengan Allah. Alhamdulillah, sebab itu kami ada semuanya hari ini," ujarnya.

Wawa mendirikan rumah tangga dengan Aeril pada 2013 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Ahmad Fakhruddiin Attar, 8, Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, 6, serta Aya Soffya yang kini berusia setahun.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain