suria

Rita Rudaini minta kerajaan kaji balik keputusan buka sekolah - “Kalau anak sakit, kita bayar bil sendiri”

Rita Rudaini risau dengan keselamatan anak-anaknya memandangkan kes Covid-19 masih tinggi.

KETIKA kadar kes baharu Covid-19 masih mencatatkan empat angka, pelakon Rita Rudaini melahirkan kebimbangannya dengan keputusan kerajaan untuk memulakan sesi persekolahan 2021 bermula 1 Mac ini.

Menerusi perkongsian di Instagram, Rita, 45, berharap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengkaji semula keputusan tersebut kerana ia melibatkan isu keselamatan pelajar termasuk juga dua orang anaknya yang masih menuntut di sekolah rendah.

ARTIKEL BERKAITAN: Sekolah rendah dibuka semula 1 & 8 Mac, peringkat menengah bermula 4 & 5 April ini

"Macam mana nak pergi sekolah? (Kes) masih tinggi lagi ni.

Luahan Rita mengenai keputusan kerajaan untuk memulakan sesi persekolahan pada Mac.

"Mohon kementerian fikir baliklah... Kalau yang penting macam nak pergi ambil peperiksaan tu tidak mengapa la.

"Yang besar-besar (pelajar senior) tu boleh dan tahu jaga diri, yang kecil-kecil bukan tahu apa," katanya.

Jumlah terkini kes Covid-19 di Malaysia pada Khamis ialah sebanyak 1,924 kes dan 12 kematian baharu direkodkan.

Mohon kementerian fikir baliklah... Kalau yang penting macam nak pergi ambil peperiksaan tu tidak mengapa la.

RITA RUDAINI

PELAKON

Aktres itu juga meminta pihak kerajaan berfikir secara rasional khususnya mengenai kos rawatan sekiranya golongan pelajar berdepan masalah kesihatan.

Dua anak Rita akan kembali ke sekolah tidak lama lagi.

"Kalau anak kita sakit, kita bayar bil sendiri. Mohon fikir betul-betul, dalam-dalam dan masak-masak," ujarnya.

Kedua-dua anak Rita, Airit Rayyan Rizqin, 12, dan Airit Qaqa Arjuna, 10, bakal memulakan persekolahan bermula 1 Mac ini.

Menerusi laporan mStar pada Jumaat lalu, Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata murid sekolah rendah Tahun 3 hingga 6 akan hadir ke sekolah mulai 8 Mac ini.

Murid pra sekolah, Tahun 1 dan 2 pula akan bermula lebih awal iaitu pada 1 Mac ini.

Bagi sekolah antarabangsa dan Institusi Pendidikan Swasta (IPS) serta pusat tuisyen ia akan kembali beroperasi pada 8 Mac ini.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain