suria

Tolonglah buka pawagam, izin penggambaran luar studio, FPM tagih simpati kerajaan - “Kami merayu demi kelangsungan hidup”

Penggambaran produksi tempatan melibatkan lokasi di luar studio tertangguh atau tidak dapat disempurnakan ketika PKP 2.0.

PERSATUAN Penerbit Filem Malaysia (PFM) merayu kerajaan memberikan kelulusan dengan kadar segera untuk mengadakan penggambaran di luar studio memandangkan sektor penerbitan filem dan televisyen kini berdepan kerugian besar.

Presidennya, Pansha berkata lebih 50,000 penggiat seni dalam pelbagai industri kreatif seperti freelancer iaitu pengarah, pelakon, pekerja belakang tabir kini dalam keadaan sengsara untuk meneruskan kehidupan.

ARTIKEL BERKAITAN: Dituduh langgar SOP buat penggambaran drama ‘outdoor’, Michael Ang tampil tunjuk bukti! - “Kau yang busuk hati tu pergi cari rezeki yang halal”

"Mereka tidak dapat bayaran kerana kebanyakan penggambaran produksi tempatan melibatkan lokasi di luar studio tertangguh atau tidak dapat disempurnakan.

"Kami merayu demi kelangsungan hidup semua syarikat penerbitan filem dan televisyen yang mengalami kerugian besar untuk menyiapkan produksi yang telah lama tertangguh selain terpaksa menanggung kos bulanan yang semakin meningkat," katanya.

Pawagam masih belum dibenarkan beroperasi. Foto: YAP CHEE HONG/The Star.

MKN sebelum ini membenarkan enam aktiviti pembangunan kandungan kreatif dalam sektor industri kreatif beroperasi iaitu produksi animasi dan muzik, pasca-produksi di studio, pembangunan muzik secara digital, rakaman lagu di studio, pra-produksi penggambaran dan penggambaran di studio.

Aktiviti penggambaran di studio merangkumi drama, telefilem, iklan, dokumentari, sitkom, penstriman secara langsung, rakaman kebudayaan, seni dan warisan tanpa penonton.

Syarikat penerbitan filem dan televisyen mengalami kerugian besar untuk menyiapkan produksi yang telah lama tertangguh.

PANSHA

PRESIDEN PFM

"Lebih 50 filem tempatan tidak dapat ditayangkan di pawagam semenjak pelaksanaan PKP dan penerbit filem terpaksa menanggung berjuta kerugian dalam pelaburan yang amat besar tanpa bantuan daripada kerajaan.

"Sekali lagi PFM merayu agar pawagam juga dibenarkan untuk beroperasi semula dengan 50 peratus kapasiti tempat duduk bagi setiap dewan merujuk kepada SOP yang telah diluluskan sebelum ini," katanya lagi.

Justeru, PFM berharap kerajaan dapat memberikan pertimbangan yang sewajarnya agar industri kreatif dapat bernafas kembali sama seperti industri-industri lain di luar sana.

"Kami merayu agar pertimbangan yang sewajarnya dapat diberi seperti industri lain," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain