suria

Amylea Azizan tak sangka tiga versi lagu Kendati ‘trending’ di YouTube - “Penyanyi lain mereka dah biasa, tapi bagi saya ia luar biasa”

Amylea Azizan tak sangka lagu Kendati jadi pilihan pendengar muzik tempatan.

PENYANYI dan komposer Amylea Azizan tidak menyangka lagu terbaharunya, Kendati akan menduduki carta trending di laman perkongsian video YouTube.

Bukan satu sebaliknya tiga versi berbeza lagu tersebut sehingga kini masih trending dengan kedudukan paling tinggi ialah di kedudukan kesembilan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tangkap perasaan betul dengar lagu Kendati OST Takdir Yang Tertulis... kudos untuk Amylea

"Saya rasa lagu ini bukan seperti cup of tea Malaysia atau cita rasa peminat tempatan. Tak pernah pun saya menjangkakan sambutan begini.

"Selalunya orang tak berapa minat lagu sebegini. Namun saya bangga dan gembira peminat muzik Malaysia sudah mula beri peluang dan buka mata lagu berentak balada seperti ini.

Selain menyanyi Amylea juga sangat berbakat dalam bidang penciptaan lagu.

“Mereka sudah menjiwai muzik yang berbeza sikit walaupun dalam kategori balada. Sekali gus memberi lebih banyak warna dalam industri muzik tanah air," katanya kepada mStar.

Tiga video yang trending itu ialah video lirik lagu Kendati, Kendati versi piano unplugged serta Kendati versi lelaki, gitar akustik yang dinyanyikan oleh Rian Shain.

Saya berasa lagu ini bukan seperti ‘cup of tea’ Malaysia atau cita rasa peminat Malaysia.

AMYLEA AZIZAN

PENYANYI

"Video lirik lagu ini trending selepas dua hari dilancarkan di saluran YouTube, ia kekal dalam senarai selama tiga minggu berturut-turut walaupun kedudukan turun naik. Tapi, paling tinggi nombor sembilan dan ia satu pencapaian membanggakan buat saya. Mungkin bagi penyanyi lain mereka dah biasa (trending), tapi bagi saya ia luar biasa.

"Apatah lagi, versi piano unplugged juga trending. Saya berasa lagi luar biasa sebab kebiasaannya versi ini seperti ‘cover version’ sahaja jadi tidaklah orang terlalu nak menonton video seperti ini," katanya.

Kendati merupakan salah satu lagu runut bunyi (OST) drama popular, Takdir Yang Tertulis yang ditayangkan di TV3, baru-baru ini.

Amylea kini sedang sibuk menyiapkan lagu untuk beberapa penyanyi lain.

Dalam perkembangan lain, Amylea berkata dia kini dalam proses menghasilkan beberapa lagu untuk penyanyi lain.

“Saya sekarang sibuk menyiapkan lagu untuk penyanyi lain pula. Jadi kena fokus dulu. Sejujurnya, saya teruja dengan semua lagu yang bakal dilancarkan nanti. InsyaAllah, awal Mac ini sudah boleh dikongsikan beberapa lagu itu.

“Yang terdekat lagu Kita Sama nyanyian Fatin Faishal. Secara peribadi saya jatuh cinta dengan lagu ini. Saya letakkan 100 peratus usaha dalam lagu ini. Sebab akhirnya dapat tunjukkan sisi berbeza saya sebagai komposer yang orang tak pernah tahu, ” katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain