suria

Ada maksud tersirat, Aina Abdul tetap bawa elemen darah pada baju ‘Semalam’ - “Warna merah sebagai sejarah yang masih ada dalam diri saya”

Busana Aina pada malam AJL35 merupakan simbolik kepada persembahannya tahun lalu menerusi lagu Sumpah.

PERSEMBAHAN penyanyi Aina Abdul di pentas Anugerah Juara Lagu yang ke-35 (AJL35) pada malam Ahad melayakkan lagu Semalam ciptaan dan nyanyiannya merangkul anugerah naib juara.

Bukan sahaja vokal yang memukau, malah busana yang digayakan oleh Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani turut menarik perhatian penonton di rumah.

ARTIKEL BERKAITAN: Bawa mesej bunuh diri, persembahan Aina Abdul di AJL34 keterlaluan dan langgar peraturan! - “Tiada idea kreatif lain ke?”

Menurut Aina, busana serba hitam rekaan Wan & Mary itu memperlihatkan kain disaluti warna merah seakan-akan darah di bahagian belakang itu merupakan simbolik dan sejarah persembahan lagu Sumpah nyanyiannya di AJL34 tahun lalu.



Lagu Semalam ciptaan dan nyanyian Aina mendapat tempat kedua AJL35.

"Warna merah di kain belakang baju saya itu sebagai simbolik. Ibaratnya bila saya pusing, apa yang jadi semalam iaitu sumpah. Sumpah itu pengenalan melalui darah buat semua orang.

"Saya dan team macam nak kaitkan dengan persembahan tahun lalu tanpa dilihat terlalu ketara. Kita gunakan elemen kain. Idea bernas ini juga datang dari team Semalam dan pereka fesyen baju saya.

"Apa yang penonton lihat bila saya berpusing itu, memang sebahagia daripada baju saya. Warna merah sebagai sejarah yang masih ada dalam diri saya," kata Aina kepada mStar.

Penyanyi berusia 28 tahun itu berkongsi mengenai rekaan dan maksud busana yang dipakainya itu ketika sesi bersama media selepas tamat AJL35 secara maya.

Pada AJL34 tahun lalu, persembahan Aina menerusi lagu Sumpah mengundang kritikan dan kecaman gara-gara berpakaian serba putih dan bertindak menikam dadanya sehingga darah mencurah keluar.

Warna hitam juga dipilih untuk melambangkan daun tersebut sudah tua dan kering dan sudah layu.

AINA ABDUL

PENYANYI

Dalam pada itu, Aina menerusi Instagram turut menjelaskan setiap perincian pakaian dan topi yang digunakan pada malam kemuncak AJL35 itu membawa maksud tersendiri.

"Topi yang direka menjadi seperti sebuah tempat tidur seorang bayi atau kanak-kanak kecil adalah hasil interpretasi lirik 'tinggal ku sendiri, ditemani jasad ini'.

"Bait kata 'jasad ini' itu adalah metafora kepada figura seorang bayi atau kanak kanak kecil yang ada bersama-sama wanita ini sewaktu berlakunya kisah 'semalam'.

"Jaket bersiluet besar dengan perincian susunan kain pleated yang kelihatan sarat adalah menggambarkan kisah penderitaan yang dialami oleh wanita itu sangat berat dan banyak sekali.

"Perincian pleated pada jacket tersebut dipilih hasil inspirasi daripada daun palas kipas atau 'palm tree'. Ini adalah interpretasi seni reka fesyen terhadap lirik 'diri ini bagai daun gugur'," tulisnya.



Setiap perincian busana dan topi yang digayakan oleh Aina membawa maksud tersendiri.

Sementara itu, Aina menjelaskan pemilihan warna hitam busana itu bagi melambangkan perkataan 'semalam' yang kerap dikaitkan dengan kegelapan selain rekaan diambil daripada pakaian tradisional Vietnam Ao Ďai.

"Warna hitam juga dipilih untuk melambangkan daun tersebut sudah tua dan kering dan sudah layu. Ia juga simbolik kepada perkataan 'semalam' yang selalu dikaitkan dengan warna hitam dan gelap.

"Selain bahagian dalam busana ini yang dicedok dari rekaan pakaian tradisional Vietnam Ao Ďai atau 'long tunic' adalah lambangan kepada sifat seorang wanita yang feminin dan ayu.

"Ia diperbuat dari material lembut dan polos yang menggambarkan hati seorang wanita yang mudah rapuh. Perincian kain pleat yang membentuk imej bulat dibawah helaian jaket bermaksud wanita ini sedang berdiri di atas daun yang terapung.

"Tidak ketinggalan, perincian kain pleated berwarna merah di belakang jaket melambangkan kesan luka 'semalam'," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain