suria

Setahun bercerai Farawahida tak sangka hati terbuka kembali selepas sertai kelab badminton - “Pada mulanya tak terfikir cari pengganti”

Farawahida selamat melangsungkan pernikahan pada Jumaat.

SELEPAS mengejutkan ramai pihak apabila mendirikan rumah tangga sekali lagi pada Jumaat, penyanyi Farahwahida mendedahkan perkahwinan pertamanya sudah berakhir secara baik sejak setahun lalu.

Farawahida atau nama sebenarnya, Farawahida Razali bagaimanapun berkata, perkara itu tidak perlu diperkatakan lagi dan menganggap jodoh dengan bekas suami sudah berakhir.

ARTIKEL BERKAITAN: Tahniah! Dalam diam-diam Farawahida kahwin lagi... minta doakan yang baik-baik

"Saya anggap kisah perkahwinan dulu itu sudah tak perlu diungkit lagi. Tak ada jodoh antara saya dan bekas suami.

"Kami berpisah cara baik sejak setahun lalu," katanya kepada mStar.

Farawahida berkongsi gambar kahwin di Instagramnya.

Penyanyi yang popular dengan lagu Tanpamu itu sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Abdul Shukor Mohd Zain pada 16 Disember 2013. Hasil perkahwinan itu pasangan tersebut tidak dikurniakan cahaya mata.

Pada petang Jumaat, Farahwahida selamat bergelar isteri kepada jejaka pilihannya Zulkifli Alias dengan sekali lafaz dalam sebuah majlis sederhana di Masjid Daerah Taiping, Perak.

Saya anggap kisah perkahwinan dulu itu sudah tak perlu diungkit lagi. Tak ada jodoh antara saya dan bekas suami.

FARAWAHIDA

PENYANYI

Berkongsi tentang perkenalannya dengan Zulkifli, 36, yang merupakan pegawai kerajaan, mereka merupakan satu kumpulan badminton yang disertainya sejak dua tahun lalu.

Tambahnya, jejaka berasal dari Melaka itu berstatus duda kepada tiga cahaya mata.

"Suami saya bergelar duda kepada tiga anak. Kami sebaya dan dia berasal dari Melaka.

Farawahida bersama bekas suami, Abdul Shukor.

"Dia satu kumpulan pasukan badminton yang saya sertai sejak dua tahun lalu di KL. Cuma awalnya, saya sendiri tak mengesyaki apa-apa. Dia pun sekejap turut serta dan sebaliknya. Hubungan kami awalnya lebih kepada rakan beriadah.

"Selesai bermain badminton, kami bawa haluan masing masing sebab dia pun tak banyak cakap. Saya pun sejak solo, malas nak fikir cari pengganti. Tak sangka rupa-rupanya dia menyimpan perasan terhadap saya dalam diam," katanya.

Farawahida mengabadikan ulang tahun kelahirannya yang ke-36 pada 19 Mac sebagai tarikh pernikahan bagi memperingati kenangan paling manis dalam kehidupannya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain