PENYANYI dan pelakon Erra Fazira tidak menolak takdir untuk bergelar isteri kembali jika bertemu dengan lelaki yang sesuai. Menurut Erra atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chek, 47, dia hanya akan meneruskan hasratnya itu sekiranya mendapat persetujuan daripada anak tunggalnya, Engku Aleesya. ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Berkat pagi Jumaat... Noor Nabila sah jadi isteri Engku Emran "Saya okey sahaja kalau anak okey tapi kalau ada jodoh, adalah nanti. "Saya pernah usik dia (kalau saya nak kahwin lagi), tapi dia cakap ayah nak kahwin, biarkan ayah kahwin tapi mama tak perlu (kahwin). "Saya harap dia cuma bergurau sahajalah cakap begitu (tertawa)," katanya kepada mStar. Erra ditemui pada majlis perlantikannya bersama Wany Hasrita sebagai duta pelitup muka jenama Himaya di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur pada Selasa. Erra dan Wany bergelar duta pelitup muka Himaya. Mengulas lanjut mengenai perasaan anak berhubung perkahwinan bekas suaminya, Engku Emran Engku Zainal Abidin, 46, dengan Noor Nabila Mohd Noor, 37, Erra berkata Aleesya cukup teruja kerana akhirnya dia mempunyai adik, iaitu Jebat Jayden Ahmad yang merupakan anak hasil perkahwinan terdahulu Nabila dengan bekas suami, aktor Sharnaaz Ahmad. Saya pernah usik dia (kalau saya nak kahwin lagi), tapi dia cakap ayah nak kahwin, biarkan ayah kahwin tapi mama tak perlu (kahwin). ERRA FAZIRA PENYANYI, PELAKON "Aleesya gembira sangat sebab dapat adik, dia memang sayang sangat dengan Jayden. "Saya selalu nasihatkan dia sayang adik, jaga adik baik-baik. 11 tahun dia seorang, jadi memang dia agak kekok sedikit tapi saya harap dia jadi kakak yang baik sebab impiannya nak jadi kakak dah tercapai. "Di bibirnya, dia selalu bercerita tentang kebijaksanaan Jayden, dia kata adiknya itu smart boy, memang dia sayang sangatlah pada Jayden," katanya. Pasangan ini bergambar dengan anak mereka, Engku Aleesya dan Jebat Jayden Ahmad. Engku Emran mendirikan rumah tangga dengan kakak kepada pelakon dan usahawan Neelofa, Nabila di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur pada Jumaat lalu. Erra sebelum ini pernah berkahwin dengan Engku Emran pada 25 Oktober 2007 namun hubungan itu tidak bertahan lama apabila mereka disahkan bercerai pada 18 Februari 2014. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Engku Aleesya yang kini berusia 12 tahun. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!