suria

Eizlan Yusof dilantik sebagai Pengerusi Skim Wajib Tayang Finas - “Ini satu amanat untuk pasukan kami bekerja lebih keras lagi”

Eizlan Yusof teruja pikul tanggungjawab baharu di Finas.

PELAKON Datuk Seri Eizlan Yusof dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Skim Wajib Tayang, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menggantikan Datuk Norman Abdul Halim yang meletakkan jawatan awal bulan lalu.

Menerusi kenyataan media yang dihantar kepada mStar, Finas memaklumkan pelantikan Eizlan itu berkuatkuasa bermula 15 Mac lalu sehingga 22 Mei tahun depan.

Eizlan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Industri, Kebajikan dan Data Industri Finas berkata dia teruja memikul tanggungjawab tersebut dan berjanji memberikan khidmat terbaik demi kepentingan industri perfileman tempatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengganti Hans Isaac janji majukan Finas - “Saya adalah ‘pemandu’, saya akan pastikan ‘kenderaan’ tidak tergelincir”

"Saya sangat terharu dengan kepercayaan menteri dan kepimpinan tertinggi Finas yang memilih saya menggantikan Datuk Norman Abdul Halim bagi mengemudi Skim Wajib Tayang.

"Ini adalah satu amanat supaya pasukan kami bekerja lebih kuat dan membantu memacu industri kreatif ke arah yang lebih baik dalam segala aspek.



Eizlan akan menggerakkan pasukannya ke tahap tertinggi.

"Saya terima perlantikan ini dengan hati terbuka dan berjanji akan memberikan yang terbaik kepada industri," katanya.

Skim Wajib Tayang adalah dasar yang diamalkan Finas yang memberi kuasa kepada Jawatankuasa Skim Wajib Tayang untuk menimbang dan menerima mana-mana filem tempatan atau filem usaha sama bagi ditayangkan secara wajib di pawagam.

Ini dibuat mengikut peruntukan peraturan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Skim Wajib Tayang) 2005 yang berkuat kuasa pada 23 Jun 2005

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain