suria

Siti Nurhaliza sempat ‘settle’ kerja akhir sebelum timang cahaya mata kedua, lancar album kanak-kanak

Siti berharap jalinan hubungannya dengan peminat dan masyarakat berkekalan buat selama-lamanya.

BERSEMPENA ulang tahun ke-25 penglibatannya dalam industri hiburan, penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza berkata terlalu banyak kenangan pahit dan manis yang ditempuhi sepanjang bergelar anak seni.

Bersyukur dengan pencapaiannya sepanjang berada dalam industri ini, Siti atau nama sebenar Siti Nurhaliza Tarudin, 42, berharap agar hubungan bersama peminat serta penyokong akan kekal buat selama-lamanya.

"Perjalanan dan pengalaman yang indah, mematangkan, mengajar, mengenalkan saya kepada banyak perkara dan di sinilah saya bertemu dengan anda semua.

ARTIKEL BERKAITAN: Siti Nurhaliza mahu Aafiyah membesar seperti kanak-kanak lain, tiada sikap ‘demand’

"Semoga dalam 25 tahun ini, ada sesuatu yang dapat saya dan anda manfaat bersama-sama, asbab untuk sesuatu yang baik.

"Saya berharap agar silaturahim tanpa syarat ini kekal selama-lamanya. 1 April yang cukup indah... Alhamdulillah! Terima kasih semua," katanya yang memulakan karier seni sejak 1 April 1996.

Istimewanya ulang tahun kali ini, Siti tampil dengan album kanak-kanak berjudul Legasi bertujuan untuk melestarikan lagu klasik supaya terus diingati anak muda.

Siti Nurhaliza bersama anak pertamanya, Siti Aafiyah.

Ditanya mengenai idea penghasilan Legasi, Siti berpendapat lagu atau muzik kanak-kanak mempunyai impak positif bagi membantu perkembangan dan pembelajaran.

Ini kerana kanak-kanak dilihat lebih cepat dan peka mempelajari bahasa, kreativiti, motivasi dan tunjuk ajar.

"Apa yang penting adalah mesej yang kita sampaikan di dalam sesebuah lagu. Anak-anak ini akan cepat belajar dan memahami, justeru dalam lirik lagu kanak-kanak termasuk olahan lirik terbaharu, saya memberikan mesej yang baik serta berguna.

"Saya tetap mengutamakan kualiti muzik, bunyi dan gubahan yang baik dalam sesebuah lagu dan album Legasi mempunyai keseronokan tersendiri sewaktu di dalam studio.

Saya sangat berpuas hati dengan hasil kerja dalam pembikinan album Legasi ini!

SITI NURHALIZA

PENYANYI

"Apa yang penting, saya sangat berpuas hati dengan hasil kerja dan usaha yang dibuat oleh Pown Hasril selaku penerbit bersama," katanya.

Sementara itu, Siti berharap album Legasi tidak disamakan dengan album komersil nyanyiannya yang lain.

Ujarnya, penerbitan sebuah album komersil pasti tidak sama dengan album kanak-kanak yang lebih santai dan tentunya berbeza dalam banyak aspek serta pemilihan.

Bagi single medley Klasik Siti 1 merupakan pilihan lagu kanak-kanak yang sering dinyanyikan oleh Siti bersama rakan-rakan sewaktu tinggal di berek polis di Kuala Lipis, Pahang.

Siti Nurhaliza lancar album Legasi sebelum timang anak kedua.

Siti memilih lagu itu kerana mahu nostalgia lalu diabadikan dengan harapan anak pertamanya iaitu Siti Aafiyah mengenal lagu kanak-kanak sewaktu zamannya dahulu.

Legasi mengandungi tujuh buah lagu dan mempunyai 10 buah track termasuk interlud.

Isteri kepada usahawan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa memberitahu dia sempat menyiapkan dua buah video muzik sebelum berehat melahirkan cahaya mata kedua.

Dalam album ini, Siti turut menghasilkan sebuah lagu buat anak yang bakal dilahirkan yang diberi judul Anakanda.

Selain itu lagu Anakku Sayangku (lagu asal Anakku Sazali), Medley Klasik Siti 2, Bintang Kecil dan Burung Kakak Tua.

Album terbitan Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn.Bhd dengan kerjasama Universal Music Sdn. Bhd diterbitkan secara digital dan fizikal bermula Khamis.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain