suria

Tahniah! Isteri selamat bersalin, Eizlan Yusof pakai baju sama sambut kelahiran anak keempatnya

Eizlan meluahkan rasa syukur atas kelahiran anak keempat.

RAMADAN kali ini menjadi kenangan manis buat pelakon Datuk Seri Eizlan Yusof apabila isterinya, Datin Seri Natasha Rosa selamat bersalin di sebuah pusat perubatan di Shah Alam, Selangor, pada Selasa.

Menerusi Instagram, Eizlan, 50, meluahkan rasa syukur dan memuat naik rakaman video sedang mendukung bayi pertama menerusi perkahwinan keduanya itu.

"Alhamdulillah, yayang (nama panggilan isterinya) dan Baby ZR (gelaran untuk bayi mereka) berada dalam keadaan baik. Terima kasih atas doa dan ingatan baik buat kami sekeluarga," tulisnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Eizlan Yusof umum isteri hamil lima bulan - “Tiga bulan pertama huru-hara... Tasha tiada selera makan dan muntah yang teruk”

Bayi perempuan seberat 2.98 kilogram yang dilahirkan secara pembedahan diberi gelaran Baby ZR buat sementara waktu.

Eizlan turut memberitahu isteri dan anaknya kini berada dalam keadaan sihat.

Untuk rekod, ini merupakan anak keempat Eizlan, tiga daripadanya hasil perkahwinan sebelum ini iaitu Vie Zaara, 13, Zareef Yusof, 11, dan Vie Zaalia, 8 tahun.

Perkongsian Eizlan di Instagram.

Dalam pada itu, pelakon filem Town Mall ini memberitahu dia mengenakan baju yang sama semasa menyambut kelahiran tiga anaknya sebelum ini.

"Baju ini akan jadi kenangan kerana empat anak saya disambut bersamanya," katanya.

Menerusi laporan mStar pada Disember tahun lalu, Eizlan berkata anak-anaknya yang lain teruja menerima kehadiran adik baharu.

Eizlan sudah miliki tiga cahaya mata hasil perkahwinannya dengan Vie Shantie Khan sebelum ini.

"Anak-anak yang lain memang suka ada adik. Mereka asyik tanya mamanya (Tasha) bila lagi mereka boleh dapat adik. Jadi mereka teruja apabila dapat tahu Tasha mengandung.

"Mereka pun tak kisah sama ada akan dapat adik lelaki ataupun perempuan, asalkan bayi sihat serta selamat," ujarnya.

Eizlan dan Natasha Rosa Boudville, 30, mendirikan rumah tangga di Putrajaya pada 12 Disember 2019.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain