suria

Tampil dengan album zikir sempena Ramadan, Khai Bahar hati-hati sebutan bahasa Arab supaya tak bawa maksud lain

Khai Bahar muncul dengan album zikir dan lagu ketuhanan sempena Ramadan kali ini.

SELEPAS kejayaan lagu Setanggi Syurga 2020 kolaborasi bersama kumpulan nasyid Inteam tahun lalu, kali ini penyanyi Khai Bahar muncul dengan album terbaharu memuatkan zikir dan lagu ketuhanan.

Berbeza dengan lagu yang pernah dinyanyikan sebelum ini, Khai atau nama sebenar Muhammad Khairul Baharuddin mengakui berdepan cabaran sepanjang proses pembikinan album Zikir Damba Ketenangan itu.

Menurut Khai, 27, dia perlu memastikan sebutan bahasa Arab yang disampaikan tepat supaya terjemahan dan maksud setiap perkataan tidak salah.

ARTIKEL BERKAITAN: Khai Bahar sambut Ramadan jauh dari keluarga - “Rindu nak beli murtabak di bazar, tapi nampaknya tahun ni...”

"Cabarannya... saya ada masalah nak sebut dengan makhraj yang betul. Apabila zikir ini nak dirakam dan diterbitkan, jadi saya kena sebut dengan betul sebab kalau salah sebut, maksud lain pula, jadi kena berhati-hati.

"Alhamdulillah, saya banyak dibantu oleh Dr Azrul sepanjang proses rakaman dan dia yang memantau sebutan saya.

"Sebelum ini menyanyikan lagu bahasa Melayu, tidak ada masalah tetapi apabila membabitkan sebutan perkataan Arab, memang ambil masa juga nak rakam. Tanda bacaan kena betul," katanya.



Khai Bahar teruja dengan penghasilan album terbaharu memuatkan zikir pilihan dan satu lagu ketuhanan.

Zikir Damba Ketenangan memuatkan lima zikir dan satu lagu penuh berjudul Perpisahan ciptaan sepenuhnya Rudy Nastia, Shamin Nazri dan Adi Pawana.

Album ini diterbitkan oleh 17 Eleven Music diibaratkan sebagai hadiah buat mereka yang sudah lama menantikan Khai muncul dengan lagu ketuhanan dan zikir.

Album ini saya dan Dr Azrul sudah rancang lama di mana memang nak keluarkan pada bulan Ramadan. Alhamdulilah, tahun ini terlaksana juga!

KHAI BAHAR

PENYANYI

Menariknya, album yang mula dijual secara pra tempahan di salah satu platform e-dagang sejak 5 April lalu habis terjual selama tiga hari berturut-turut.

Ditanya mengenai bonustrack lagu Perpisahan yang turut dimuatkan dalam album itu, Khai berkata ia adalah lagu ketuhanan yang mengajak semua orang untuk mengingati hari kematian.



Komposer lagu nasyid, Dr Azrul Azlan (baju putih) banyak bantu Khai sepanjang proses penghasilan album zikir ini.

"Lagu Perpisahan membuatkan kita sentiasa ingat kepada kematian. Bukan saja saya yang menyanyikan lagu ini tapi semua tanpa mengira usia, pangkat, darjat, kedudukan atau status.

"Saya terfikir sebagai manusia biasa pengakhiran kita tetap sama iaitu kematian. Cuma bila waktunya dan bagaimana kematian itu hanya Allah saja yang tahu. Disebabkan itu, dalam lagu ini ia memberikan peringatan kepada kita.

"Album ini saya dan Dr Azrul sudah rancang lama di mana memang nak keluarkan pada bulan Ramadan. Alhamdulilah, tahun ini terlaksana jugai," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain